Jika kau terjun, terjunlah kau sendiri!
Aku amati ayat-ayat di atas. Ku petik ayat-ayat azimat ini dari novel popular penulis dari seberang; Andrea Hirata, berjodol Padang Bulan.
Bersengketa dengan pasangan hidup kita atau lebih kepada bersengketa dengan diri sendiri juga merupakan penyakit mental yang harus dihadapi oleh manusia seperti aku. Sudah lebih seminggu selepas suami berikrar memutuskan hubungannya dengan kekasih gelapnya dan memutuskan untuk memulai hidup baru denganku. Terus-terang entah kali ini episod yang ke berapa dalam sebuah sinetron yang sama.
Aku terlalu letih memikir cara yang terbaik menangani perasaan ini dan mengatur perancangan untuk meringankan perasaan yang bercelaru ini.
Mungkin pada sesetengah pihak, aku harus gembira dengan berita ini, tapi secara peribadi, bagiku ini sukar diterima lagi oleh akal fikiranku sementelah dia telah berkali-kali menyatakan penyesalannya mengahwini aku dan hanya bertahan kerana anak-anak.
Semua ini sukar dimengerti. Cinta sukar dimengerti.
Aku berusaha mencari jalan agar keputusan yang bakal kuambil akan bisa menggembirakan semua termasuk suami. Aku penat bertelagah
dengannya mengenai soal hati dan kebahagiaan. Aku usai dengan keinginannya yang tak pernah puas denganku dan sering mencari kesalahanku.
Bila aku amati ayat-ayat sang novelis, perasaan yang kusut, terungkai. Aku tidak bisa hidup dengannya lagi, aku tidak sepadan dengannya. Permintaannya terlalu tinggi dan aku tidak mahu berubah lagi hanya untuk memuaskan keinginannya. Aku mahu menjadi diriku sendiri dan punya ruang untuk bebas berfikir untuk diriku sendiri. Cinta perlukan pengorbanan dan akulah wanita yang menjadi korban cinta itu. Apapun aku mahu dia berpeluang merai cintanya yang baru bersama wanita pilihannya. Betapa ironisnya hidup ini.
Aku mahu kali ini kami benar-benar bersedia meringankan beban fikiran masing-masing kerana aku lelah memenuhi keinginannya.
Terus-terang, ku kira jalan yang terbaik ialah mencari jalan agar dia bersetuju kami menjadi sahabat dan perkahwinan kami ini hanyalah sebagai memenuhi tuntutan syarak. Aku dan dia masih bersama atas alasan kemanusiaan dan kami hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Kami bertahan untuk beberapa tahun lagi sehingga anak-anak cukup dewasa menerima situasi kami.
Aku lebih rela menjadi sahabatnya dari menjadi pasangan hidupnya lagi. Anak-anak pasti mengerti, sekurang-kurangnya mereka masih ada ibu ayah yang masih menyayangi dan melindungi serta membimbing mereka. Aku pasti inilah yang terbaik.
Aku tidak sanggup lagi berpura-pura dan menipu diriku sendiri bahawa dia masih mencintai aku dan semua ini hanya mimpi ngeri, kelak bila
aku membuka mata semuanya akan lenyap.
Sungguh aku telah melakar pelan, aku mahu hidupku lebih teratur dan selepas ini segala yang telah berlaku adalah pengajaran yang paling
bermakna dalam hidupku.