Semalam aku berbual dengan seorang teman lama yang pernah bersekolah sama denganku semasa di sekolah menengah. Kami ber'chatting' di Facebook. Seperti selalu kami bertanya khabar, bagaimana keadaan keluarga masing-masing dan juga aktiviti harian kami.
Setelah lebih dua puloh tahun tidak bertemu, aku bertanya padanya apa dia masih mengingati aku waktu persekolahan dulu; maksudku bagaimana perwatakanku dulu, kiranya dia masih mengingati aku.
Seingat aku pula, 'junior' ku ini kecil orangnya tapi aku tidak ingat bagaimana perangainya waktu dulu. Selain dari gambarnya yang terbaru di Facebook, aku langsung tidak teringat bagaimana orangnya waktu persekolahan dulu, tetapi wajahnya tetap seperti dulu, yang berbeza cuma sekarang dia adalah seorang dewasa dan ayah kepada beberapa orang anak.
Jawabnya; "awak seorang yang sangat ceria, sangat aktif dan tahu apa yang awak mahukan dalam hidup ini!" Aku termangu dan sekaligus amat terharu. Sejujurnya aku tersentak kerana ada teman yang masih ingat padaku walaupun sudah bertahun kami tidak bertemu.
Aku termenung dan merenung kembali waktu silam waktu aku remaja dan meniti dewasa. Aku tidak pernah berfikir panjang sebelum membuat sesuatu. Apa yang aku tahu, apa yang terlintas di fikiran itulah yang terbaik! Aku mencuba semua aktiviti di sekolah. Aku menjadi Presiden kepada banyak persatuan dan melibatkan diri dalam aktiviti syarahan dan debat. Walaupun tidak cemerlang tapi kukira waktu itu adalah waktu yang terhebat buatku!
Meniti alam remaja sebenarnya tidak sama seperti semasa kita mengharungi alam dewasa. Wajah dan perwatakan masa lalu, sedikit sebanyak akan berbeza dan pengalaman kita pun makin bertambah. Kita yang dulunya penuh dengan naluri keanak-anakan akan berubah sedikit demi sedikit mengikut peredaran masa dan tentunya persekitaran mempengaruhi banyak faktor perubahan diri.
Seingat aku, dulu aku sering mempertikaikan dan memberontak apabila ada yang tidak selaras dengan pemikiranku. Aku lebih mengutamakan perasaan dan menolak mentah-mentah buah fikiran orang lain. Selalunya aku akan meneruskan sesuatu perbuatan itu terlebih dahulu sebelum memikirkan implikasinya. Ya! aku mengaku banyak kesilapan yang berlaku akibat dari kegopohan dan perbuatan yang lebih mengikut nafsu itu. Darah muda memang sukar dimengerti!
Begitu juga dengan perhubungan intim atau cinta yang pernah terjadi padaku. Banyak hati yang terluka dek perbuatanku...mungkin tak separah mana tapi kesannya agak luarbiasa. Apa tidaknya..kadang-kadang selepas bertahun-tahun tidak ketemu tapi bila bertembung dalam dunia siber dan masing-masing telah berkeluarga dan punya kehidupan sendiri, mengungkit kembali kisah-kisah silam. Aduh! terkadang malu juga aku dibuatnya. Akhir-akhir jawapan yang selalu aku beri ialah, jodoh tiada antara kita!
Aku percaya pada jodoh dan ketentuan Tuhan. Di sebalik yang berlaku pasti ada hikmahnya. Setiap perbuatan ada implikasinya dan kita sebagai insan yang waras pastinya tidak mahu kesilapan lalu berulang lagi dan pastinya, perhubungan cinta kita yang baru dijalinkan dengan lebih berhati-hati.
Apabila kita telah dewasa, kita berdiri dengan akal dan emosi yang tersendiri. Kita sendiri akan tahu buruk baiknya sesuatu langkah atau keputusan yang kita ambil. Kita akan lebih berhati-hati dan keadaan sekeliling selalunya lebih banyak kaitannya dengan keputusan kita. Kita tidak boleh mengambil jalan mudah dan menyerahkan semuanya kepada takdir. Bahagia atau tidaknya kita bukan bergantung pada nasib semata-mata!
Berbalik pada persoalan diri sendiri, aku kira zaman lalu banyak mengajarku erti kehidupan. Sekarang aku adalah individu yang berbeza. Aku bukan lagi gadis nakal yang ceria, yang selalu mengikut kehendak hati dan akur pada kehendak naluri. Aku kira sekarang aku patuh pada pertimbangan dan lebih mengutamakan perasaan orang lain. Itu bukan bermakna kita tidak mungkin bahagia tapi kepuasan membahagiakan orang lain adalah lebih bermakna. Wallahuallam.