"I'm selfish, impatient and a little insecure. I make mistakes, I am out of control and at times hard to handle. But if you can't handle me at my worst, then you sure as hell don't deserve me at my best."
— Marilyn Monroe
Hari ini aku jatuh sakit lagi. Seminggu ini, aku terlalu bergantung kepada ubat yang diberi Doktor Pakar. Depressi yang aku alami agak rumit dan aku diberi ubat penenang yang bukan saja membantu aku tenang dan juga tidur dengan lebih nyenyak waktu malam tapi terbawa-bawa hingga aku sendiri tidak dapat berfikir siangnya. Agak menakutkan bila otak yang sentiasa berfikir seolah-olah tersangkut tidak mampu menjana perasaan. Aku sentiasa letih, kadang-kadang tak berperasaan!
Kesan kimia ubat ini agak kuat dan aku cuba beberapa kali untuk tidak mengambilnya, dengan alasan aku tidak mahu terlalu dependen padanya. Aku mahu berfikir dengan tenang, caraku sendiri. Tapi aku kalah.
Fikiran yang terlalu celaru ini seakan aku berada di dalam trafik yang sesak dengan kenderaan yang bersimpang-siur. Aku seolah berada di awangan, separa sedar. Ini membuat aku terlalu letih hingga aku tidak berupaya mengingat waktu dan menghiraukan keadaan sekeliling.
Dalam waktu kemurungan ini, aku tidak dapat berfikir dengan betul. Kesilapan kecil atau teguran teman-teman tidak langsung dapat diterima oleh akalku masa ini. Aku sentiasa negatif walaupun pada hal-hal yang ringan. Ingatan pada masa lalu sering menghantui hingga aku tidak dapat mengawal kesedihan seolah-olah derita hati tidak berpenghujung.
Kenangan silam yang sedih melekat di kepala seolah tidak dapat dipadam. Kenangan manis juga tidak dapat mengatasi yang pahit, semua terlalu negatif. Aku sering menyalahkan diri sendiri atas semua yang terjadi. Aku gagal melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu dan anak.
Dalam keadaan yang menekan ini juga aku berperang dengan maruah dan harga diri. Aku terkadang menyoal diri mengapa dan kenapa aku masih setia berharap dan terus memberi harapan kepada diri sendiri setelah apa yang berlaku selama ini? Apa aku tidak puas lagi disakiti dan terus menerima tekanan dengan harapan semua ini akan berlalu nanti?
Aku buntu memikir cara.
Aku tahu, aku tidak boleh berterusan begini, aku perlu sedar dan bangun. Ada yang lebih penting yang perlu aku khuatiri dari perasaan yang hanyut ini. Aku sedang berusaha. Aku tahu ramai yang gelisah dan marah kerana aku tunduk pada situasi ini. Aku tidak berupaya, bukan aku tidak mencuba. Aku sedang berusaha.
Aku tahu si dia berada di sisiku di saat aku memerlukan sokongan. Aku sedar dia juga sedang berusaha membantuku. Aku menghargai setiap dorongan yang dia dan teman-teman berikan. Aku mahu melupakan segala yang terjadi dan sentiasa berfikiran terbuka dan berharap janji yang telah kami meterai di Jakarta tempohari adalah bukan hanya janji kosong lagi.
Aku cuba sedaya upaya mengumpulkan tenaga dan bangun dari kekusutan ini. Aku mahu tenang, aku tidak mahu dilihat anak-anak pada waktu sukar ini. Aku perlukan semangat dan kekuatan yang melangkaui batas fikiran agar aku boleh berdiri dan menoleh ke luar jendela sambil tersenyum; aku menang! Aku tidak mahu kalah, lebih-lebih lagi dengan bisikan syaitan. Aku mahu sedar dari lamunan bahawa aku berpijak di bumi nyata dan semua ini hanyalah mainan kehidupan.
Aku tidak berdaya melawan gelisah ini buat masa sekarang, berilah aku masa, sedikit lagi. Kepada semangat yang masih berlegar, sapalah aku sekali lagi!