October 29, 2013

Kaku

Terlalu pantas waktu berlari.  Rasanya baru semalam aku melihat rintik-rintik hujan tengkujuh jatuh di kepingan kaca jendela.  Namun hari ini aku merasa terlalu lelah lantaran kemarau mula menjenguk.

Mungkin cuaca, kehidupan dan hati ada persamaan.  Bila sampai waktunya angin menerjah, tengkujuh pergi kemarau menyinggah.  Bila sampai waktu hati mula goyah, lelah dalam  dakapan waktu yang mencengkam, hati berhenti berlari.  Sama seperti awan yang tidak lagi dapat bertahan, terhambur hujan menyembah bumi. Mungkin itulah juga hati dan kehidupan.  Namun tak semuanya sama.  Kerna hati dan perasaan adalah unik. Terlalu kompleks.  Hanya Dia yang tau.

Bila gerimis datang, aku terfikirkan makngah dan pakngah.  Tiada kena mengena antara dua, tapi suasana suram yang menyeliputi sewaktu gerimis, mengundang memori.  Arwah makngah pergi menghadap Illahi beberapa hari sebelum Ramadhan.   Aku terfikirkan pakngah yang kesunyian tanpa makngah.  Aku masih lagi terbayang pakngah yang mencium dahi makngah sewaktu sebelum kain kafan ditutup.  Terbayang pakngah yang tenang.  Airmata begitu berharga, mungkin risau takut makngah sedih nanti.  Mungkin masa itu roh makngah masih berlegar memerhati pakngah yang keseorangan nanti.  Cinta mereka agung.  Aku kagum. Sedikit demi sedikit album gambar yang kusimpan kemas itu terbuka.  Aku tersenyum lagi.  Memori itu masih kekal, seolah aku nampak cinta mereka.  Setia dan bersatu.  Aku bangga menjadi sebahagian mereka.

Tiba-tiba aku  terkenang emak dan ayah.  Aku rasa lumpuh.  Walau badai tak pernah sekali berhenti, emak tetap di situ, setia.  Cinta emak bak karang, tetap teguh walau dipukul badai.  Mungkinkah aku seperti emak?  Sekuat karang kah cintaku?  Walau kita bersama seribu tahun sekalipun, sekiranya tiada persamaan dalam satu ikatan, hubungan itu akan menjadi longgar.  Tanpa salah satu hati berusaha mengikatnya, tak mungkin sampai ke akhir hayat.  Apapun, walau aku tak mungkin menjadi seperti emak, namun aku bangga menjadi sebahagian dari emak.  Aku kagum dengan emak.

Aku mengembara lagi.  Masih jauh perjalanan.   Seolah lelah tak berkesudahan.   Perjalanan yang panjang dan berliku meruntun aku untuk berhenti.  Tapi aku masih lagi berjalan sehingga aku ketemu satu ruang yang kosong, tapi dipenuhi dengan hati-hati yang kekeringan.  Di hujung sana ada satu hati yang kutemui.  Masih berlari.  Hati yang satu ini bagai cermin.  Refleksi diriku.  Aku melihat dia, seolah dia membalas pandanganku.   Hati kami menyapa, seolah kami  ada ikatan yang bersambung.  Tapi tanganku tak sampai untuk menyentuhnya.  Bahkan aku tak sanggup.   Lantaran rantai yang masih terikat kukuh.

Aku sedih.  Dia sedih.  Kami sedih.

Halusnya perasaan tak mungkin difahami.  Bila ada yang menyapa,  bila kita menyambutnya,  bermakna ada sesuatu yang tumbuh di sana.  Tiada daya kita untuk menahannya.  Ia datang tanpa diundang. Tapi  yang mesti  ditempuh tidak dapat menandingi realiti kehidupan ini.  Kita kaku di dalam waktu.   Cinta itu tak mungkin dimiliki.  Takdir telah menentukan di mana letaknya hati-hati kita.  Aku kaku.

Emak, pakngah, makngah, dia, aku.  Dilingkungi satu nama.  Cinta.