"Don't cry because it's over, smile because it happened."
— Dr. Seuss
Jumaat lepas aku pergi menemui pakar sekali lagi. Alhamdulillah, doktor memberi medikasi yang berlainan kali ini, yang agak ringan. Sekurang-kurangnya aku dapat berfikir dan berehat sekaligus tanpa buntu.
Aku berharap selepas dua minggu, aku telah kembali tenang walaupun sedikit. Apa yang merisaukan hanyalah dada yang terasa sesak dan kadang-kadang tak keruan dibuatnya. Kadang-kadang dalam satu waktu aku boleh berfikir lima benda sekaligus, itu yang merisaukan aku.
Apabila idea menulis datang, aku tidak tahu bagaimana mengurus tiga atau empat topik sekaligus, itu yang membuat tubuhku letih kerana minda tidak fokus kepada satu topik.
Setelah aku meluahkan perasaan dan perbincangan selama sejam, akhirnya doktor memberitahu aku perlu pandai mengawal stress dan medikasi ini akan cuba mengajar tubuh bagaimana menerima situasi ini. Alhamdulillah doktor gembira dengan perubahanku yang makin positif. Terus-terang aku berharap aku tidak perlu lagi menemuinya dan mengawal sendiri perasaanku. Aku kerap menjelaskan pada diri yang aku masih waras dan pertemuan dengan sang doktor bukan bermakna aku kurang waras tetapi lebih kepada terapi yang perlahan-lahan akan mengubati kemurungan yang aku alami. Bagamanapun aku sedar, aku perlu menemuinya lebih-lebih lagi dia lebih pakar dalam membantuku mengawal kemurungan ini.
Setiap hari berdepan dengan perasaan yang gundah dan sering keliru membuat aku makin murung. Jujur, aku berharap kekusutan ini dapat dileraikan segera. Aku terlalu penat, dadaku terlalu sesak seolah baru selesai mengangkat beban yang berat. Kalaulah semua ini semudah yang disangka aku pasti tiada istilah rumah sakit mental.
Dalam keadaan yang masih belum pulih, aku mendapat tahu suami masih lagi berhubungan dengan teman wanitanya. Dengan bersahaja katanya dia tidak dapat meninggalkan temannya itu lantaran inilah kebahagiaan yang dia cari selama ini dan katanya lagi, selama ini dia pertahankan rumahtangga kami hanya kerana anak-anak. Hancur hatiku mendengar kata-kata yang menghiris perasaan itu. Adakah selama ini sebenarnya tiada cinta untukku; dan aku hanyalah seorang wanita yang digelar isteri kerana aku penjaga anak-anaknya? Terus-terang aku muak dengan semua ini dan perasaanku hancur berkecai. Selama ini aku berusaha mengutip setiap kepingan hati yang hancur, kucuba menampal semula maruah yang koyak itu tapi masih tidak berjaya.
Aku amat kecewa, aku berikan kata putus padanya kerana pada saat itu ku kira selama ini apa yang kami cuba selesaikan dan janji-janji yang telah kami meterai di Jakarta tempohari hanyalah omongan kosong. Aku merasa ditipu untuk kesekian kalinya.
Katanya pula kami sebenarnya bersetuju atas dua perkara yang berbeza; aku kira dia telah selesai dengan wanita itu dan kembali padaku untuk selamanya, sementara dia pula menafsir aku dapat menerima teman wanitanya dengan rela dan bersedia menjadi isteri pertama. Oh Tuhan! selamatkanlah jiwa ini untuk sekali ini!
Aku tidak dapat menerima tamparan ini lagi. Cukup. Aku beri kata dua padanya; dia mesti meninggalkan wanita itu kerana jika dia masih meneruskan juga permainan ini aku tidak akan memaafkannya lagi. Jujur, aku muak dengan semua ini. Perasaan benci meluap dan aku pasti inilah penghujung pada deritaku yang panjang.
Malam itu dia keluar menemui wanita itu. Aku cukup terbakar dengan semua ini. Betapa aku merasa dikhianati. Malam itu dia menghantar pesanan ringkas kepadaku menyatakan bahawa dia akan memutuskan hubungannya dengan wanita itu malam itu kerana dia tahu aku tidak akan dapat menerima sekiranya dia punya wanita lain dalam hidupnya.
Aku bukan tamak dan aku juga bukan seorang yang ego tapi aku hanyalah seorang isteri yang terlalu mencintai suami dan hanya berpegang kuat pada prinsip. Aku tidak percaya pada cinta yang terbahagi dua dan aku tidak percaya kiranya seorang wanita yang berani menghancurkan perasaan seorang wanita lain dan memporak perandakan rumahtangga orang lain adalah wanita yang jujur dan ikhlas dalam membina sesebuah hubungan. Adakah kita boleh bahagia di atas penderitaan orang lain?
Maaf kiranya aku terlalu mengikut perasaan tapi sesungguhnya aku tidak mahu lagi tersiksa dan mempercayai kata-katanya lagi. Jelas sekali dia memang tidak ikhlas dan terlalu hipokrit.
Adakah mereka merasa puas dengan semua ini? Aku tidak pasti apa yang mereka rancang atau fikirkan. Aku muak dengan mereka berdua. Selama ini aku tidak pernah melarang kehendak suami dan aku sejujurnya telah memberi izin untuk dia berkahwin lagi, tetapi apa yang aku pasti selama ini, mereka seolah-olah tidak serius untuk berkahwin dan suami akan pulang kepadaku seolah-olah hanya aku permaisuri hatinya. Aku keliru dengan sikapnya yang suka berpura-pura.
Dalam setahun lebih ini aku tidak pernah sekalipun mengganggu wanita itu walaupun aku tahu siapa dia. Aku tidak mahu suami mendapat malu kiranya aku menghubungi wanita itu, padaku biarlah mereka dengan dunia mereka sendiri dan aku punya harga diri. Aku tidak sekalipun bertanya ke mana dan apa yang mereka lakukan. Aku terlalu menjaga hati suami dan anak-anak. Aku takut sekiranya aku meledak, anak-anakku adalah mangsa yang paling parah tercedera.
Aku letih. Aku mahu pergi dari sini. Aku perlukan ketenangan yang tak pernah aku temui. Di mana letaknya kejujuran dan keikhlasan yang selama ini aku pertahankan? Rupanya aku sendirian selama ini. Bertepuk sebelah tangan sememangnya tidak berbunyi.
Pagi esoknya dia pulang ke rumah. Aku keliru lagi dan tidak dapat berfikir dengan tenang. Dia membawaku keluar menenangkan diri. Katanya, dia telah pun memutuskan hubunganya dengan wanita itu semalam, dan mahu aku melupakan semua ini kerana dia telah membuat keputusan muktamad ingin memulakan episod yang baru bersamaku. Katanya hidupnya kucar-kacir walaupun katanya dia merasakan dia telah menemui kebahagiaan lagi. Aku? Masih tidak pasti lagi. Mendengar kata-katanya membuatku lebih tersiksa. Aku fobia dengan semua ini. Kepercayaan yang aku tanam untuknya berkecai begitu saja. Aku perlukan masa sedikit lagi.
Kabarkan padaku wahai teman, perlukah aku menunggu lagi pada sesuatu yang tidak pasti? Aku tidak tahu bilakah semua ini akan berakhir kerana aku pasti sekiranya masih tiada ikhlas dalam sesuatu keputusan aku pasti kesilapan ini akan berulang lagi.
Cukuplah, aku berserah pada Yang Esa. Dia lebih mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Anak-anakku penguat semangat dan senyuman mereka azimat yang aku bawa ke mana sahaja.
Aku adalah aku; mungkin aku tidak menang dalam percintaan tapi aku tahu aku punya prinsip dan tahu apa yang terbaik untuk aku dan anak-anak. Aku tidak akan akan mati hanya kerana tiada lelaki yang mencintaiku dan mengapa aku mesti bersusah payah menunggu lelaki yang tidak setia dalam perhubungan.
Aku bangun hari ini. Apa yang lebih membuat aku kuat ialah; Aku masih menang kerana ini adalah kekalahan kepada mereka. Dan tiada istilah kalah dalam hidupku!
Hari ini, Aku doakan yang terbaik untuk diriku sendiri, kerana aku sedar aku berjalan di landasan yang betul dan Tuhan masih menyayangi aku!