"Twenty years from now you will be more disappointed by the things that you didn't do than by the ones you did do. So throw off the bowlines. Sail away from the safe harbor. Catch the trade winds in your sails. Explore. Dream. Discover."
— Mark Twain
Hari ini aku agak tenang, walaupun kepala masih berat dan tidak fokus. Aku keluar bersarapan bersama teman-teman rapat. Lewat sarapan kami bercerita mengenai anak-anak remaja kami.
Cerita-cerita kami agak sama; mengenai cinta anak muda dan bagaimana kami mengawalnya agar anak-anak tidak tersalah langkah.
Dua minggu lalu aku dan suami melawat mereka di asrama. Sebelum itu si sulong meminta izin membawa temannya menemui kami. Aku berseloroh dengannya kalau-kalau dia mahu mengenalkan teman wanitanya. Jawabnya; si gadis cuma teman biasa. Anak sulongku ini agak 'daring' dan bersahaja. Si gadis comel orangnya. Pada pandanganku mereka berani dan tahu mengekspresi diri, tanpa rasa malu. Aku bangga. Sekurang-kurangnya mereka berani kerana benar!
Si tengah pula, mengaku jatuh cinta. Katanya si gadis yang baru dikenalinya itu, banyak persamaan dengan gadis yang diminatinya di sekolah lama. Katanya dia berdebar-debar setiap kali terserempak dengan si gadis. Cintakah itu?
Aku lebih banyak memberi pendapat sebagai ibu dan orang yang lebih dewasa. Terus-terang aku tidak punya pengalaman yang sebegitu, tapi pernah ada yang meminati, pun sama semasa waktu masih sekolah. Usia pun dalam lingkungan usia mereka; lima belas dan enam belas tahun. Bagiku ini adalah waktu kritikal dalam zaman remaja. Peralihan waktu dari anak kecil ke alam remaja.
Hidup ini unik. Kitaran hidup seseorang itu agak sama dari satu sama lain. Walaupun kita tidak sezaman, berlainan bangsa atau tempatnya tapi paten dan rangkanya agak serupa. Walaupun seseorang itu corak pemikiran dan penerimaan pada sesuatu hal itu berbeza tapi menjurus pada satu hal yang sama; cinta!
Padaku setiap remaja itu punya hak sebagai individu untuk berfikir dan merasa nikmat cinta. Bercinta di waktu remaja ini lebih kepada eksperimen, itu pada pendapat peribadiku. Waktu ini kita bebas memilih teman dan menikmati hidup. Aku tidak melarang tetapi aku sentiasa memberikan pendapat dan ruang untuk mereka menilai samada waktu ini mereka patut melebihkan masa bercinta atau belajar.
Aku sentiasa menegaskan pada mereka, kita bebas merasa cinta tetapi kita harus tahu batas-batasnya, lebih-lebih lagi mereka masih belajar dan perjalanan masih lagi jauh. Sekarang mereka masih di sekolah menengah, mereka masih ada beberapa tahun lagi untuk ke universiti. Persediaan perlu sekiranya mereka mahu berjaya ke menara gading.
Anak-anak sekarang sangat 'advanced', mereka lebih bijak dari segi teknikalnya, tetapi dari segi insaniah, aku rasa anak zaman ini perlu bimbingan kerana mereka lebih suka mencuba sesuatu yang baru. Persekitaran mempengaruhi cara pemikiran mereka, sekiranya mereka dalam lingkungan yang membina, mereka akan tumbuh membesar berdaya saing dan hebat tetapi kiranya persekitaran yang tidak sihat pula akan menerapkan nilai-nilai yang akan menjurus kepada kegagalan.
Dewasa ini nilai-nilai kemanusiaan tidak lagi menjadi tunggak kepada sesuatu perhubungan. Teknologi moden melangkaui batas pemikiran. Dunia baru tanpa sempadan! Kita boleh mengakses ke mana saja ke pelosok dunia ini mencari jawaban kepada setiap persoalan. Seks bebas, moral yang rendah, iman yang tipis, semuanya bermula dari rumah. Itu pendapatku.
Sebagai ibubapa penting bagi kita mendidik mereka bukan setakat memberi makan dan pelajaran agar mereka berjaya dari segi akademiknya sahaja tetapi lebih menekankan dari segi spiritual agar mereka tidak tersesat jalan. Didikan kita hari ini adalah cerminan peribadi mereka di masa depan.
Pada pendapat peribadiku Spritual yang tebal di dalam diri seseorang itulah yang akan membina dan mengawal minda mereka dari melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Pelajaran di sekolah sepatutnya setara dengan pelajaran yang kita beri di rumah. Bukan mata pelajaran matematik atau sains maksudku, tetapi sopan santun, budi bahasa, tatacara diri, agama, moral, disiplin dan macam-macam lagi agar mereka membesar dengan iman dan harga diri!
Aku sentiasa mengingatkan mereka bahawa cinta yang mereka alami sekarang adalah asas kepada cinta yang lebih bermakna dalam kehidupan mereka nanti. Ini adalah eksperimen kecil untuk mereka lebih mengenal diri sendiri dan menikmati kehidupan awal dari sepertiga hidup mereka. Masih ada dua pertiga lagi peringkat kehidupan yang akan mereka harungi.
Aku doakan yang terbaik untuk mereka semua, khasnya anak-anak remajaku. Mereka bebas menilai dan menikmati cinta tetapi perlu sentiasa beringat bahawa cinta yang sejati dan lebih bermakna masih jauh untuk digapai.