November 27, 2013

Belajarlah Menghargai

"You shape your own destiny." - Chet Atkins

Selalunya kita merindui seseorang setelah dia pergi meninggalkan kita.    Kita merindui sang suria pabila salji mula turun.  Kita merindui setelah semuanya tidak bererti lagi.  Acapkali kita terlepas pandang.  Kita sering terlewat.

Belajarlah menghargai kerana belum tentu yang pergi akan kembali lagi.

Aku ketemu seorang teman petang semalam.  Memang sudah lama kami tidak bertemu lantaran kesibukan masing-masing.  Kami bertanya khabar.  Seperti biasa anak-anak menjadi topik kami kalau bertemu.  Dunia kami adalah keluarga.  Pendidikan anak-anak adalah yang utama.

Namun kali ini dia tidak banyak berbicara.  Dia tidak ceria.  Keadaannya berbeza dari sebelum ini.  Dia banyak mengeluh seolah ada yang tidak beres.

Tiba-tiba dia menghulurkan tangannya padaku.  Aku menyambutnya kehairanan.  Katanya dia akan berpindah ke tempat lain.  Belum tahu bila akan ketemu lagi.  Dia terpaksa pergi.  Dia tidak betah mempertahankan maruahnya lagi.

Teman ini  sentiasa berkongsi masalah denganku.  Hidup tak selalu indah tetapi masih bertahan.  Kami sentiasa menyokong satu sama lain dan memberi nasihat.  Kami bersaudara.

Pasangannya telah menduakannya dan kini mempunyai sebuah keluarga yang baru.  Dia masih bergelar isteri walaupun suaminya tidak lagi bersama.  Sahabat ini masih setia menunggu.  Katanya selalu; dia percaya satu hari nanti suaminya akan kembali dan mereka akan saling menemani kerana dia adalah kekasih abadi.  Dia mahu seiring jalan ke akhir hayat.

Aku merasa terlalu dingin.  Seolah ada yang telah membeku.  Aku tidak nampak kehangatan cinta yang dia perkatakan selalu.  Aku keliru.

Mengapa wanita selalu menjadi mangsa keadaan? Kenapa perkahwinan sering berantakan gara-gara pihak ketiga dan di mana letaknya kesucian cinta?  Aku sendiri goyah.

Hari ini aku melihat tiada lagi cahaya di matanya.  Tiada lagi sinar harapan.  Dia bertekad keluar dari belenggu perkahwinan.  Dia tidak mahu menyakiti perasaannya lagi.  Nasihat supaya bersabar tidak lagi menjadi penawar kepada luka-lukanya.

Katanya dia tak mungkin kembali lagi.  Hatinya bulat, dia nekad.  Katanya apabila dia membuat keputusan itu suaminya ada datang memujuk dia kembali, tetapi dia menolak dengan baik.

Katanya semua telah terlambat.  Semuanya telah menjadi abu.  Dia tidak mahu bermain lagi.  Permainan cinta hanya untuk yang lemah.  Ternyata dia merasa tertipu dan kecewa.  Dia lebih rela menjalani hidup sendirian.

Aku tidak berani bersuara tapi aku tahu dia menyimpan seribu kekesalan.  Pertanyaanku mungkin hanya akan menambah beban.

Aku terduduk mendengar berita itu darinya.  Aku tidak sangka dia senekad itu.   Aku tahu dia tidak mahu membincangkannya lagi.  Tiada apa yang dapat menahannya.  Noktah
Aku sayu.

"Kawan, jangan lagi kau bersedih untukku.  Aku akan maju.  Tiada istilah kalah lagi dalam dairi hidupku."

Aku sedih.  Airmataku mengalir tanpa tertahankan.  Dia memegang tanganku.  Kejap.  Tiada setitikpun airmata yang keluar dari matanya.  Dia sangat tabah.  Kami berpelukan.

Petang itu gerimis mengiringi.  Aku melihat dia pergi membawa hati.   Langit seolah memahami kesedihan kami.  Hujan yang turun itu bagaikan airmatanya yang gugur.

Semoga kau berbahagia sahabatku.  Aku akan sentiasa menyokongmu.

Detik ini aku melihat diriku sendiri.  Aku melihat kelilingku.   Tiada niat untuk membuat perbandingan.

Cuma kadang-kadang aku tidak mahu percaya pada cinta.  Dua dekad memamah usiaku dan merobek seluruh jiwa ragaku.  Aku sangsi.  Aku tidak mahu peduli lagi.  Namun apakan daya aku tidak betah lagi.

Hari ini aku masih di sini, walaupun hatiku tidak lagi berlari.  

Aku beristighfar.  

November 22, 2013

Percayalah

Wahai teman,

Percayalah.  Hidup, cinta dan peraturan memang tidak menjanjikan bahagia kerana bahagia itu ada di dalam diri kita.

Kau dan aku percaya pada cinta dan gerak hati.  Dan aku percaya Tuhan sangat memahami.

Teman,

Sungguh aku juga tidak pasti bagaimana mentafsirkan kebuntuan; rentetan dari setiap pedih pengalaman.  Aku juga sering kalah dengan peraturan.  Kadang aku benci dengan ketidakadilan.  Aku juga sering mengeluh, malah aku juga merasakan sabar sudah sampai ke garisan penamat.  Aku sering mencari jalan keluar.

Namun teman, padaku perkahwinan yang bersaksikan Tuhan dan bukannya nafsu semata-mata adalah yang paling suci.   Aku percaya jodoh di tangan Tuhan.

Perkahwinan itu adalah gabungan dua jiwa yang saling memerlukan.  Kita ditemukan dan dijodohkan kerana kita diamanahkan Tuhan untuk membina keluarga dan melahirkan zuriat.  Perkahwinan bukanlah semata-mata medium untuk kita menghalalkan perhubungan dan melempiaskan nafsu.  Perkahwinan adalah lebih dari itu.

Mencari sefahaman dalam alam rumahtangga amat sulit.  Ia memerlukan lebih dari pengertian logik akal.  Kerana di dalam perkahwinan bukan hati dan perasaan sahaja memenuhi keperluan tetapi mental juga memain peranan.

Seorang teman pernah memberitahu bahawa tingkahlaku dan peribadi seseorang adalah refleksi dari hati.  Cinta yang tulus dari hati adalah yang paling suci.  Namun cinta dan gerak hati dalam perkahwinan tidak relevan dalam situasi kita.  Tidak semua merasakan keperluan cinta dalam perhubungan.  Tidak semua seperti kita.

Memang kawan,  siapa yang tidak mahukan bahagia.  Siapa yang mahu hidup kesunyian?  Kita manusia biasa, perlukan teman bercerita yang memahami.

Apabila kesal mula meratah kebahagiaan yang kita bina, kita mula mencari alternatif lain.  Kita merasa sangat sunyi lantaran tiada lagi sefahaman.  Hati kita terluka.Ada ruang kosong di dalam hati kita.  Kita cuba mencari seseorang untuk mengisinya.  Kita mula merasakan ada damai di seberang sana.

Kita mula merasa kita berhak mendapat kebahagiaan.  Kita menidakkan apa yang kita ada.  Lalu kita mula lupa apa yang telah kita bina.  Jalan-jalan damai yang pernah kita susuri bersama tidak lagi menjadi memori indah kepada kita.  Kita terlupa.

Memang benar mereka tidak memahami kita dan sering melukakan perasaan.  Malah maruah kita pun habis dirobek mereka.   Kadang mereka tersangat kejam membiarkan kita meredah kegelapan sendirian.  Airmata kita yang mengalir tidak  bisa menyentuh hati mereka.   Tidak berharga.

Kadang-kadang kita merasakan maruah kita hanya tinggal bayang-bayang.  Kita marah.  Kita kesal kerana kita merasakan kita telah salah memilih pasangan.

Sahabatku, percayalah pada Tuhan.  Ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Ada hikmah di sebalik pertemuan kita. Kemungkinan kita ditemukan kerana Tuhan tahu.  Dia mahu kita melupakan kesedihan kita.  Dia mahu kita merasa bahagia kerana hati kita saling memahami.  Kerana itu Dia menemukan kita di saat kita amat memerlukan perhatian.  Dia mahu kita bersahabat dan saling menasihati.

Sahabatku, keindahan di seberang sana belum tentu menjanjikan bahagia dan apalah erti maruah yang sedikit itu berbanding kebahagiaan insan-insan yang tersayang yang lebih memerlukan kita.  Percayalah siapa pun yang menjadi pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita.

Percayalah.

November 20, 2013

Antara Takdir, Bahagia dan Derita

Aku percaya bahagia tak mungkin muncul selagi kita tidak redha dengan takdir kita... aku juga percaya bahawa penderitaan bukan untuk selamanya.

Apabila kita terlalu berharap mendapat kebahagiaan, kita selalunya akan kembali ke waktu silam, cuba memperbetulkan kesilapan lalu.  Kita takut kiranya kita akan mengulanginya lagi. Dek kerana terlalu obses mengharapkan bahagia kita abaikan apa yang ada di depan mata kita. Pada akhirnya tiada apa yang muncul, kita terus-terusan lemas dalam angan-angan.

Mungkin kadang-kadang juga bila kita sentiasa dilanda tengkujuh, bersilihganti dengan kemarau, justeru kita lupa pada angin yg lembut menyapa.  Kita lupa pada pelangi yang hadir tatkala hujan pergi, kita lupa pada rumput menghijau.  Kita lemas di dalam kabut perasaan.

Aku percaya bahawa Bahagia itu subjektif.  Cara kita menafsirkan bahagia itu juga pelbagai.  Ada yang menganggap material sebagai punca kebahagiaan,  ada yang bermatian mengatakan ianya adalah cinta. Sebenarnya kita perlukan kedua-duanya. Ianya saling berkait, memainkan peranan masing-masing.

Material untuk kesinambungan hidup manakala cinta berperanan sebagai makanan untuk nurani.  Tanpa salah satu hidup kita pasti pincang.

Namun ada juga yang beranggapan bahagia atau derita adalah takdir buat mereka.  Mereka tidak pernah memikirkan tentang material atau cinta.  Mereka cuma percaya pada takdir.

Sepanjang hidupku aku telah ketemu ramai wanita perkasa jiwa raganya. Aku melihat mata-mata yang berduka di antara hilai tawa yang dipaksa.   Tanpa rasa marah pada kesengsaraan yang menguliti jiwa,  mereka berserah semuanya pada takdir.  Mereka gundah tapi masih berdiri dan ketawa.  Aku rasa kecil.

Kakak iparku datang menziarah kami.
Aku duduk bersama dia di balkoni petang semalam.  Dia termenung jauh. Bunyi kenderaan, kicauan burung berselang seli seolah tenggelam dalam menungannya.  Kami kaku.  Aku sayu melihatnya.

Seawal dua puluh tahun dia telah bergelar balu.  Tanpa berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi dia dipaksa berkahwin.  Apabila dia diceraikan dia terus berperanan menjadi pengasuh adik-adiknya.

Pabila adik-beradik yang lain semuanya telah tamat pengajian dan berkeluarga kakak terus bersama ibu bapanya iaitu mertuaku.  Menjaga keduanya sehingga akhir hayat mereka.  Dunianya selama ini cuma di sekitar rumah.  Kakak kini tinggal sendirian.  Tanpa ibu, ayah, suami atau anak-anak.  Kakak sebatang kara.  Aku hiba.

Kakak tenggelam dalam lamunan.  Aku tidak dapat meneka fikiran kakak tapi aku tau hatinya sangat kesunyian. Betapa bertuahnya aku berbanding kakak.  Aku punya keluarga. Ada suami dan anak-anak tapi kakak tidak punya sesiapa.

Aku teringat seseorang lagi.  Dua kali dia tewas dalam perkahwinan.  Cintanya tak berharga untuk pasangannya. Begitu murah harga sebuah perkahwinan.  Kini dia juga bersendirian.  Mungkin kali kedua menjanda, sahabatku ini terus patah hati.  Dia tidak lagi mengharapkan cinta.  Dia kecewa.  Semangatnya terus bungkam.  Hidupnya  memang sukar tetapi aku tau dia masih berharap ada sinar yang menunggu.   Dia tidak berputus asa walaupun semangatnya hampir tiada.   Dia masih mahu meneruskan hidup.

Terkadang aku terfikir apakah takdir menganaktirikan mereka? Mengapa ini semua terjadi?  Apakah ini takdir yang lahir bersama mereka atau inikah yang dinamakan karma.  Tetapi adakah itu yang sebenarnya?  Apakah mereka telah pasrah?   Bukankah pasrah bermakna berserah?  Namun aku salah.  Persepsi aku tentang bahagia jauh berbeza dengan mereka.

Wanita-wanita ini sangat kuat.  Beriman dan percaya pada kebesaran Tuhan dan mereka yang setabah ini percaya bahawa ada hikmah di sebalik setiap tangisan mereka.  Mereka percaya pada Yang Maha Kuasa.  Mereka percaya Al-Quran penenang jiwa.

Mereka pasrah dengan kesulitan hidup, namun tidak kalah dengan penderitaan.  Pada mereka hidup mesti diteruskan.  Mereka beriman.   Mereka tidak peduli dengan cinta atau harta benda.  Mereka percaya pada yang Maha Esa.  Mereka percaya bahagia dan derita adalah takdir yang tertulis untuk mereka.

Aku melihat keduanya.  Aku insaf.

Kini apa yang aku tau, pasrah bukan bermakna kita berserah juga bukan bermakna kita kalah.  Ini bermakna walau apapun perspektif kita tentang hidup,  hakikatnya Bahagia itu tak datang sendiri.  Kita yang seharusnya berusaha mencarinya.  Bukan cinta atau material yang menerajui kebahagiaan kerana kebahagiaan itu sebenarnya ada di dalam diri kita sendiri.

Dan apa yang aku pasti; apa yang dinamakan takdir itu bukan bermakna kita harus mengalah dan berserah.   Kerana dalam perjalanan menuju bahagia kita seharusnya lebih tabah.

Aku mendoakan yang terbaik untuk kakak dan sahabatku itu.  Semoga kebahagiaan yang mereka cari itu akan datang akhirnya.

Wallahuallam.

November 16, 2013

Cinta tak semestinya memiliki

Pulau peranginan ini seolah mengalukan kedatanganku.  Banyak perubahannya semenjak kedatanganku yang dulu.  Sangat menakjubkan.

Tiba-tiba aku merasa seperti banyak waktu yang telah dipersia.  Aku merasa seolah aku sendiri tidak berubah seiring waktu atau sebenarnya aku takut menghadapi kenyataan?

Aku merasakan hidup ini semakin singkat dan masih banyak lagi yang tak dicapai.  Banyak lagi yang ingin ku kutip sepanjang perjalanan hidup ini.  Aku ingin meneroka apa yang tak pernah diangankan.  Aku ingin mencuba.

Lalu aku sering terfikir, pada dasarnya atau pada hakikatnya; adakah aku ini seorang yang pengecut? Adakah ini bermakna aku tidak berani menempuh realiti dan cabaran yang lebih besar?  Adakah hidupku terlalu terbatas dengan angan-angan sahaja.

Perlukah aku menguji diri?  Menguji takat manakah kekuatan aku menangani ketakutan sendiri.

Laungan ombak yang memukul pantai seolah memanggilku.  Aku berjalan ke pantai. Aku terpanggil menyusurinya.  Pantai yang bersih, dengan butiran pasir yang berkilau seperti berlian itu meraikan kedatanganku. Aku terpaku pada kilauannya yang memukau.  Aku ghairah dengan pelukan pepasir di kakiku.

Butiran pasir yang halus seolah baldu terasa lembut di kakiku.   Hembusan angin yang selembut sutera itu seakan menyelimuti diriku. Aku seolah melayang.  Inikah yang dinamakan keindahan alam?  Aku hanyut dibuai perasaan.

Aku berjalan lagi tapi tiba-tiba hatiku memaksa aku berhenti kerana pabila aku memandang ke lautan yang luas itu aku rasa lemas.  Seolah aku akan karam.  Seperti selalu,  aku gerun.

Walau apapun yang digambarkan mereka betapa cantiknya pemandangan dasar lautan itu..aku tidak betah memaksa diri untuk menikmatinya.  Sungguh aku gentar.  Bukan aku tidak mahu tapi aku sangat takut.  Bukan aku tidak pernah mencuba, tapi pada akhirnya aku kalah.

Padaku cukuplah kiranya aku masih dapat melihat tepian pantai dan lautan yang membiru.  Aku sudah puas.

Tiba-tiba aku sedar.  Hidupku berputar pada satu paksi.  Semuanya saling berkait.  Samada ketakutan menghadapi lautan atau kebimbangan terhadap perasaanku terhadap manusia.

Sungguh aku sangat menghargai keindahan Maha Pencipta namun aku sangat gentar dengan kebesaranNya.

Aku mengaku aku hanyalah manusia yang lemah.  Tidak mustahil kiranya suatu hari nanti aku berputus asa dengan semua ini walau sehebat manapun aku pertahankan kesetiaan itu.   Tidak mustahil juga kalau aku berubah mengikut arah angin.

Aku adalah wanita yang penuh dengan emosi yang  halus.  Aku mudah terpesona.  Keindahan dunia kadang menarik aku ke alam indah yang tak patut diteroka.

Permainan hati dan perasaan bukan sesuatu yang mudah.  Sekiranya kita lemas dan karam di dalam lautan emosi tanpa sesiapa menyelamatkan kita, pasti kita akan terus hanyut.  Aku sangat takut.  Aku takut kiranya aku tidak dapat berpatah balik.

Mungkinkah aku sebenarnya takut pada kehendak hati kerana aku terlalu memahaminya?

Aku pasti kita saja yang tahu bagaimana perasaan kita sendiri.  Kita saja yang berhak menentukan baik buruknya akibat tindakan kita. Bermain dengan perasaan adalah seperti suatu perjudian.   Aku tidak mahu ketagih dengan keindahannya.   Aku takut tersesat jalan.

Aku tidak mahu terluka malah aku takut melukai.  Aku tidak pernah melukai sesiapa dan sesungguhnya aku tidak bercadang memulainya.

Aku mahu semuanya di dalam kawalan warasku. Aku tidak mahu permainan emosi ini mengawal seluruh hidupku. Aku mahu mengatasi kelemahan hati ini.   Aku mahu menjadi manusia yang punya empati.  Tulus dan penuh pengertian.  Ketulusan pasti mendamaikan.

Aku percaya pada takdir dan qada dan qadar kerana aku percaya Cinta tidak semestinya memiliki.

November 12, 2013

Nama itu secantik dirimu!

Adakah kita memang ditakdirkan lahir dengan nama kita sendiri?  Adakah nama kita itu telah dipilih untuk kita oleh yang di atas atau ianya adalah pilihan kepada yang memberikan nama kepada kita?

Aku ketemu seseorang lewat Oktober lepas tanpa disangka.  Walaupun tak pernah bersua hanya berhubung melalui pesanan ringkas dan email..kami seolah serasi.  Sangat serasi.  Seperti kenalan lama, kami berkongsi cerita.

Terus terang apabila mengenali sahabat ini aku mula melakar hidupku dan aku temui semula impianku. Aku menjadi tabah semula dan aku mula ketawa.

Bercerita apa sahaja dengannya membuat aku merasa seperti telah ketemu semula diriku sendiri.

Teman ini sangat istimewa.   Seorang yang sukakan keindahan dan redha dengan kekurangan diri.   Suka memuji dan sangat sensitif. Bercerita dengannya membuat aku rasa sangat dihargai.

Siapa yang tak suka dipuji kerana ternyata pujian itu bisa mengangkat hati.  Dia selalu memuji dan menghargai.  Mungkin nama yang bermakna cantik itu memang sesuai untuknya.

Cantik adalah makna bagi nama yang dipilih ibunya.  Aku sangat bangga dengan ibunya..seolah aku tau apa yang tersirat di dalam hati ibunya sewaktu memberikan nama seindah itu kepadanya..kerana aku percaya makna yang secantik itu akan bisa mengangkat hati yang kecewa.

Aku terbayangkan wajahnya semasa dia menolak untuk ke sekolah kerana malu dengan wajahnya.  Aku tidak pernah mengenal dia waktu itu..tapi aku seolah ternampak ibunya memujuk dengan kata-kata yang indah yang menaikkan semangatnya.

Kalaulah aku ada waktu itu..akulah yang akan berkongsi makanan dan cerita dengannya dan berjalan ke sekolah bersama-sama.  Aku mahu dia tau..cantik itu bukan kerana rupa tapi apa yang ada di dalam hati kita.

Aku rasa kawan ini tumbuh dengan baik sekali.  Seolah pokok yang sentiasa dibajai dengan kasih-sayang ibu ayah.  Tidak keterlaluan kalau aku katakan dia punya harga diri yang tinggi dan redha sekali.   Alhamdulillah dia berjaya melakar dirinya sendiri.

Mungkin sekali itu aku tidak sensitif dengan perasaannya yang halus.  Kata-kataku membuat dia sedih.  Aku mahu menyentuh hatinya dan memohon maaf.

Ingin sekali aku katakan..wahai kawan, jadilah insan yang bahagia kerana bahagia itu terletak pada hati bukannya pada rupa.

Aku bangga dengan dirimu dan sangat bahagia kerana dengan mengenalimu,  kini pabila aku memandang awan buat kesekian kalinya..aku nampak bunga bunga hujan menari-nari.   Aku ketawa lagi.

Terima kasih kawan!

November 7, 2013

Oktober, Puncak Eiffel dan Lavender

Lewat Oktober itu
di antara mimpi dan angan-angan
Kita bersalaman

Seolah sekali itu kita pernah bersua
Engkau tersenyum melewatiku
Dengan haruman lavender
Cappucino dan dress putih susu

Kita berdiri di puncak Eiffel
Seolah awan dan bintang boleh digapai tangan
Kita memandang ke bawah
Kenderaan bersimpang siur
Dengan neon terang benderang

Kita dibuai mimpi

Angin dingin Oktober membelai wajah wajah kita
Ungu putik Lavender seolah memenuhi angkasa

Kita tenggelam dalam mimpi

Kini bila Oktober datang lagi
Aku masih bermimpi

Dan Puncak Eiffel dan lavender menyapa

November 5, 2013

Maal Hijrah

Kebelakangan ini aku bukan aku yang dulu.  Aku sering berkhayal dan lupa diri.  Hanyut.

Aku nampak perubahan ini.  Sayangnya walaupun aku sedar, aku tidak menahannya.  Aku menjadi tidak peduli, seolah sangat egois.  Aku seolah mencipta diriku yang baru atau mungkin aku berubah menjadi aku yang sebenarnya.

Aku seolah membiarkan diriku mengikut arah angin.  Aku tidak lagi sensitif dengan kemahuan rohani.  Aku menjadi leka.  Aku lupa pada mereka yang ketawa dan menangis bersamaku. Aku lupa diri.

Memang aku tau, yang membolak-balikkan hati itu sedang memerhatiku. Aku mengaku tidak berani memandangnya.  Aku tau Dia sedang mengujiku, seolah membiarkan aku.   Aku sedih, aku resah.  Aku kini terlantar.

Kesakitan ini seolah olah memamah riangku sedikit demi sedikit.  Resah yang menyerta menjunam aku ke lorong yang sempit.  Aku tercari-cari garisan cahaya.

Aku cuba membuka mataku perlahan. Aku mahu melihat awan lagi, mahu lagi menonton ceritera di dada langit.  Aku mahu menghidu haruman kemboja di halaman.   Mengintai merpati yang kebasahan di tepi jendela tatkala hujan belum reda.

Aku tidak mahu peduli pada kemahuan fikiran namun aku juga tidak mahu menjadi hamba pada keangkuhannya hati.

Aku mahu bangun lagi.  Aku mahu berubah kembali ke bentuk asalku. Aku tidak mahu menjadi rama rama kerana aku lebih rela menjadi sang kepompong.  Indahnya sayap si rama-rama dengan warna mempersona bukan impianku.  Aku cuma mahu menjadi aku dan mahu menjadi hamba yang besyukur.

Dan Maal hijrah ini aku mahu kembali.