February 28, 2011

Inikah Jalan Pulang?

Baru-baru ini aku pergi menemui seorang pakar sakit jiwa (psikiatri) untuk mengubati perasaanku yang terluka ini. Kukira ini adalah jalan dan ubat yang terbaik untuk aku meleraikan kekusutan yang melanda kehidupanku sejak bertahun-tahun. Selama ini aku sentiasa muhasabah diri dan mengambil kira semua pendapat teman-teman dalam menangani masalah peribadi kerana aku takut kiranya aku sendirian cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi aku mungkin tersesat jalan.

Sang doktor adalah yang pakar, itulah yang aku kira kerana aku bukan Super Woman yang dapat menyelesaikan sendiri apa yang kusut selama ini. Aku juga tidak bisa menyelamatkan dunia kerana sebenarnya aku perlu diselamatkan!

Sebuah perkahwinan itu memerlukan dua kepala yang bergabung menjadi satu. Itu yang aku tahu. Seorang kenalan pernah bersuara..katanya perkahwinanku adalah seperti sebuah eksperimen yang gagal! katanya aku dan suami sebenarnya telah lama menyedari hakikat ini tetapi dek kerana anak-anak kami berdua menutup mata dan meneruskan juga ikatan perkahwinan ini. Alangkah sedih mendengar kata-katanya. Tapi adakah apa yang disuarakannya salah? atau aku yang tidak mahu menerima kenyataan?

Padaku mungkin pada sesetengah orang, perkahwinan itu adalah sebagai tempat untuk menghalalkan apa yang haram, meluluskan apa yang disyaratkan oleh syarak atau sebagai pengikat dua jiwa. Semua ini adalah bergantung pada penilaian akal. Itu yang aku faham. Pada pendapat peribadiku, setiap perkahwinan itu adalah sebuah perjudian. Mahu tak mahu itu adalah hakikat yang perlu ditelan oleh semua orang. Dua jiwa yang berlainan; samada bangsa, agama, atau sebangsa, seagama, seorang dari selatan, yang satu dari utara dan sebaliknya, ditemukan dalam satu ikatan perkahwinan yang dinamakan jodoh. Padaku jodoh itu adalah ketentuan Tuhan, jadi secara peribadi aku percaya setiap permasalahan selepas berkahwin dapat diselesaikan sekiranya ada kesetiaan, kejujuran, kesabaran yang tinggi dan penilaian akal yang berhemah. Padaku, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita semua dan walau siapapun yang dijodohkan dengan kita, dialah yang terbaik yang Tuhan telah pilih untuk kita!

Setiap perkahwinan tidak sama, begitu juga setiap pasangan yang berkahwin. Semua orang ada peribadinya sendiri, unik seperti corak di jari jemari kita! Nampak seperti sama tapi amat berlainan pada hakikatnya. Perkahwinan aku, anda atau dia adalah sangat berbeza! Kita adalah individu yang berlainan, punya akal dan pendapat yang tidak mungkin sama. Penilaian kita atas satu-satu sebab adalah bergantung pada corak pemikiran kita.

Berbalik pada pendapat temanku itu, "wahai kawan aku amat bersyukur bersahabat denganmu, tapi aku tidak dapat menerima semua pendapatmu!" Walaupun aku mengaku aku bangga kiranya seseorang itu berani keluar dari kesengsaraan demi untuk mencari kebahagiaan hati. Tapi perlukah aku mementingkan diri sendiri hanya untuk memuaskan hati sendiri?

Aku tidak pernah menafikan bahawa aku juga pernah bukan sekali atau dua kali, tapi berkali-kali mengeluh dengan ujian ini. Aku sentiasa bersabar dan sentiasa melihat sekelilingku, menjenguk hati-hati yang bakal terluka kiranya aku salah membuat keputusan. Aku sentiasa berbalik pada ungkapan ini " Allah tidak akan menguji kita kiranya kita tak mampu mengurus ujiannya...setiap ujian Tuhan adalah setimpal dengan kemampuan kita.." dan setiap kepayahan itu pasti ada kejayaan yang menunggu. Aku sejujurnya amat letih dengan semua ini, kadang-kadang sehari lagipun aku tidak mampu menghadapinya! Tapi, siapalah aku hendak menolak takdir?

Hidup ini terlalu misteri, begitu juga hati-hati kita. Apabila cinta beralih arah, tiada siapa yang boleh mempertikaikannya. Perkahwinan dan Cinta itu juga suatu yang sangat misteri, apa tidaknya? Satu-satu pasangan itu kadang-kadang penuh dengan rasa cinta, tapi tidak dapat bertahan lama dan menyalahkan pasangan masing-masing dan ada pula yang menekankan bahawa tiada "chemistry" atau keserasian di pertengahan jalan dan ada pula pasangan yang tidak pernah bertemu tapi dijodohkan boleh mengecapi bahagia ke akhir hayat. Mungkin juga toleransi itu sangat penting dan salah seorang perlu waras dalam setiap pertimbangan. Misteri bukan?

Kedua arwah ibubapa mertuaku kekal berkahwin lebih enam puluh tahun. Teringat kata arwah ibu mertuaku dulu, dia juga sangat bersabar dengan kerenah suaminya; sangat garang dan tegas tapi dia sentiasa mendiamkan diri kerana tidak mahu menderhaka. Kekal perkahwinan mereka hingga ke hujung hayat mereka berdua. Emak meninggal dua tahun selepas ayah. Sebelum meninggal katanya padaku "emak rindukan ayah..." alangkah cinta dan setianya pada ayah, walaupun dia selalu berkecil hati sewaktu ayah masih hidup.

Ibubapaku sendiri pula juga penuh dengan masalah. Ayahku nakal orangnya..tapi emak setia menunggunya berubah. Sehinggalah sekarang, sudah lebih empat puluh tahun bersama, mereka masih boleh bergurau dan bersenda seolah cerita lama hanya dalam lipatan sejarah dan sebuah memori yang sesekali dikenang.

Pokok pangkalnya, bolehkah aku menjadi setia dan sekuat kedua wanita tabah ini?

Aku mengaku sangat tersepit dengan soal ini. Hendak diikutkan hati dan gerak emosi aku pasti yang lebih terluka adalah orang-orang yang tersayang. Tapi kalau sentiasa mengikut arah angin, mengikut kewarasan fikiran dan mengenepikan soal perasaan, apakah aku mampu bertahan lagi? Atau inikah yang terbaik? Tanpa ada rasa cinta tapi lebih pada dasar tanggungjawab. Entah, mungkin biar masa yang menentukan!

Pertemuan dengan pakar itu sedikit sebanyak membantuku mengurus diri. Sekurang-kurangnya aku berada di atas sebuah landasan yag betul. Keputusan di tanganku. Aku pasti tentang itu.

Apapun aku berharap, di penghujung sana, ada sinar yang menanti! Wallahuallam.