Semalam aku kalah dengan perasaanku. Selama ini aku sentiasa berfikir dengan waras dan sering menolak hati yang penuh dengan emosi.
Malam sebelumnya, suami mengaku masih mencintai wanita itu yang menjalin hubungan dengannya lebih setahun. Katanya dia masih tidak dapat melupakan wanita itu lantaran dia sangat mencintainya dan sementara aku pula tidak akan dilepaskannya kerana kami telah lama bersama dan punya anak-anak yang makin membesar. Sebelum itu dia meminta aku berubah sekiranya aku mahu dia kembali kepadaku. Aku setuju walaupun aku sebenarnya tidak tahu apa yang perlu aku ubah? Ya Tuhan! setelah setahun dia membuat aku menderita, akhirnya aku juga yang dipersalahkan padahal aku telah lama mengizinkan dan sentiasa bertolak ansur! Di mana keadilan dan hak aku sebagai isteri?
Sebelum ini, walaupun dia menyalahkan aku dalam semua hal aku masih boleh bersabar, tapi semalam mendengar kata-katanya yang terlalu berterus-terang mengenai cinta dan hati, aku goyah dan rasanya tidak perlu aku berharap lagi.
Aku terlalu kecewa. Walaupun katanya dia rela melepaskan kekasihnya dan akan berkorban kebahagiaan sendiri demi aku dan anak-anak, aku tidak dapat menerima semua ini lagi. Siapa aku sebenarnya pada dia? Selama ini aku berkorban perasaan dan segala-galanya demi dia dan anak-anak, tapi kata-katanya yang terlalu menghiris perasaan membuat aku jatuh tersungkur.
Segala kata-kata dan janji yang pernah dia ucapkan tidak lagi menjadi azimat padaku. Janjinya untuk mencuba semula tidak lagi menjadi harapanku. Bagaimana mahu memulakan semula sekiranya tiada cinta kedua belah pihak? Sekiranya hanya aku yang berusaha, adakah itu memadai?
Apa yang membuat fikiranku kusut pada waktu ini ialah bagaimana untuk aku melangkah lebih jauh dan mengatasi masalah ini dengan lebih positif. Aku banyak berbincang bersama teman-teman dan keluarga. Kata-kata semangat mendorong aku lebih tabah untuk menghadapi hari depan. Aku tahu aku perlu lebih tenang memendangkan baru-baru ini aku manghadapi tekanan dan kemurungan yang melampau sehingga teman-teman mencadangkan aku ke hospital dan bertemu pakar yang boleh membantuku menyelesaikan kekusutan ini.
Pada saat ini apa yang aku perlu lakukan ialah; mencari jalan untuk membahagiakan hati sendiri, mencari sesuatu pekerjaan yang dapat membuat aku lupa tentang masalah yang aku hadapi sekarang dan rasanya apa yang paling penting ialah lebih menumpukan rasa cintaku kepada anak-anak yang lebih memerlukan daripada memikirkan tentang perasaan cinta sendiri. Bagaimana untuk aku melakukan ini semua? Bagaimana harus aku menukarkan perasaan seorang isteri kepada perasaan seorang kawan supaya aku dapat lebih memahami perasaan suami, kerana setelah aku dengar apa yang diluahkan suami tempohari, aku kira hati ini sukar menerima dia lagi dan aku kira tidak mungkin aku betah melayan dia secara normal lagi.
Adakah dengan mengasingkan tempat tidur bisa meleraikan kekusutan ini? Aku tidak pasti.. adakah dengan membiarkan semuanya seperti seolah-olah tiada apa yang berlaku, boleh membuat aku bahagia? Apa yang perlu aku lakukan? Mungkin aku perlu lebih tenang dan menyerahkan semuanya pada takdir? Tapi bukankah kebahagiaan itu perlu dicari? Aku tidak mahu membiarkan diri terbelenggu dengan penderitaan ini dan aku tidak mahu ego menguasai diriku dan amarah menjadi titik tolak pada keputusan yang bakal aku ambil nanti.
Adakah dengan perpisahan dapat menyelesaikan masalah ini? Aku tidak mahu melukakan perasaan anak-anak walaupun aku tahu anak-anak pasti menyokong apa saja keputusanku tetapi apa akan jadi pada masa depan mereka yang masih jauh lagi? Aku perlu lebih tenang dam membina kekuatan agar aku tidak tersasar..
Seorang kenalan pernah bersuara, katanya di mana maruah aku sebagai wanita kerana sikapku yang telalu tenang berhadapan dengan lelaki yang menindas perasaan isteri, menzalimi emosiku secara berterusan? Bagaimana aku masih boleh membiarkan semua itu terjadi dan sentiasa memaafkan dan sentiasa menerima dia kembali? Memang aku akui, aku terlalu sedih dengan kata-kata kenalan itu, apa benar aku tak punya maruah yang tersisa? Tapi padaku, ini bukan soal maruah, tapi lebih pada tanggungjawab dan perasaan orang-orang yang tersayang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...
Di mana letaknya maruah aku sebagai ibu sekiranya aku lebih memikirkan perasaan sendiri dari perasaan anak-anak? Aku percaya, bahawa aku adalah tiang seri pada pada semua anak-anakku, kerana yang mencorak masa depan mereka adalah aku.
Apa salahnya aku berkorban sedikit lagi hanya untuk mereka yang aku cintai? Ya Tuhan! berilah aku sedikit lagi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ini..