Setahun ini aku banyak menyusahkan orang sekelilingku terutama orang-orang yang tersayang... anak-anakku!
Anak sulongku yang berusia 17 tahun pada kiraanku sangat rapuh emosinya, walaupun dia yang sulong tapi kadang-kadang amarahnya seakan anak-anak kecil. Tinggal di asrama mungkin sedikit sebanyak mengajar dia erti berdikari. Aku mahu semua anak-anakku mengerti akan erti kehidupan dan kepayahan. Biar dia belajar bermasyarakat dan membesar di sekeliling teman-teman yang seangkatan. Terlalu manja pada pengamatanku..Dia tidak betah diajak berdiskusi lantaran dia pemarah orangnya. Selalunya aku akan mengambil jalan mudah dengan menasihatinya bahawa hidup ini tak semudah yang disangka tapi aku masih dapat mengawal keadaan. Situasi yang berlaku di rumah tidak lebih dari keadaan biasa yang pernah dilalui teman-temannya walaupun aku sedar dia tahu apa yang aku maksudkan kerana dia sendiri memberitahu dia tidak akan dapat memaafkan sesiapa pun yang cuba menyakiti mamanya dan itu bermakna orang yang dimaksudkan ialah papanya sendiri! Anak ini sangat istimewa.. agak nakal tapi amat bersopan santun, pandai mengaji, berbudi bahasa dan amat menghormati orang tua. Kata seorang teman, wah! alangkah baikknya kalau kita dapat berbesan ya?! Hahaha...si sulong ini banyak sekali ciri-ciri ayahnya.. Sentiasa disenangi!
Anakku yang kedua sangat sensitif orangnya dan sangat matang dalam usianya yang masih setahun jagung. Anak ini juga ku hantar ke sekolah berasrama seperti abangnya. Mereka berdua tidak betah bersama, tapi mungkin dengan bersekolah bersama dan berjauhan dari kami akan merapatkan mereka. Anak ini agak 'complicated' pada pendapatku.. terlalu artistik dan tahu apa yang diinginkannya. Di awal masalah yang berlaku ini, dialah yang menjadi tiang untuk aku berpaut kerana dia sentiasa menasihati, menyokong, memberi pendapat dan kata-kata semangat yang terlalu berharga. "Mama, you are my Super Woman, not like in the movie or in the life changing dramas, but a real person in front of me!".. Alhamdulillah..itulah kata-kata hikmah yang aku pegang hingga kini! Di saat aku tersungkur bersedih atas kegagalanku melawan ugutan syaitan, anakku ini sentiasa memberi semangat bahawa tempat yang terindah ada di atas menunggu bukannya di dunia ini, yang hanya sebagai pentas lakonan kehidupan. Dia amat sensitif tapi penuh dengan pengamatan. Suatu hari pernah sekali kerana terlalu simpati dengan kesedihanku, dia meluahkan kata-kata yang amat menyentuh perasaanku.."mama, bersabarlah untuk dua tahun lagi.. masa itu aku dan abang sudahpun ke universiti, jadi kami akan membantu mama..pergilah ke mana yang mama inginkan, ubatlah hati mama yang terluka itu!" Ya Tuhan! kuatkanlah aku demi untuk anak-anak yang penuh pengertian ini!
Wanita kecil, puteri kesayanganku pula penyuntik semangat untukku terus bertahan. Terlalu banyak yang kami kongsikan bersama.. berjauhan dengannya kadang-kadang membuat aku gila merindukannya. Gadis ini aku hantar jauh ke sebuah sekolah berasrama penuh di Seremban. Bukan aku sengaja atau tidak mahu dia bersekolah dekat di sekitar tempat tinggal kami, tapi bagiku biarlah dia ke tempat yang telah tertulis sebagai batu loncatan dia ke menara gading! Anak ini terlalu istimewa...penuh dengan keyakinan diri yang melangkau usia dan tubuhnya yang comel.. Dia akan mencuba semua kegiatan samada dalam bidang muzik, sukan, teater, syarahan, mendaki gunung bahkan terjun dari bangunan tinggi pun ingin dicubanya! What a character! Kata emak, dia banyak persamaan denganku semasa remaja dulu.. tersenyum aku dibuatnya. Hai anak, aku mahu kau melangkah lebih dariku dan buatah apa saja yang terlintas di fikiranmu selagi ia tidak melanggar batas-batas agama!
Wanita kerdil ini, sentiasa memberi kata-kata perangsang kepadaku. Pernah satu ketika dia menghantar email padaku.." Mom, moving on is like a bitter vegetables.. it tastes bad, but it is good for you!" Ibu mana yang tak tersentuh dengan kata-kata ini? Setiap kali kami berjumpa, dia akan selalu memelukku dan katanya dia sangat faham dengan apa yang aku lalui, dan apa sahaja keputusanku dia akan sentiasa menyokongnya.
Putera keempatku hanya berusia sebelas tahun.. dialah yang paling terluka dengan keadaan kami. Keakrabannya dengan ayahnya sangat mengecewakannya. Masalah ini mendorong dia bertemu guru kaunseling di sekolahnya.. Aku yang mencadangkan dia bertemu orang yang dipercayainya untuk meluahkan perasaannya yang terluka dek perbuatan kami, ibubapanya. Ia sedikit sebanyak membantunya mengawal emosinya yang tercalar. Hero kecil ini penuh dengan imaginasi.. kadang-kadang dia akan bertarung sendirian seolah-seolah seorang hero sedang bertarung di alam imaginasi rekaannya.. Agak menjengkelkan, hahaha tapi bukankah setiap anak kecil memang penuh dengan imaginasi? Pernah suatu ketika ketika aku jatuh sakit, si kecil ini dengan memegang tanganku dia berkata..."Mama, kiranya kita tak dapat apa yang terlalu kita inginkan, cukuplah kiranya kita bersyukur dengan apa yang ada di keliling kita!" Demi Tuhan, hari itu aku berjanji pada diriku, itulah hari terakhir aku sakit, kerana aku bertekad aku akan bangun demi anak-anak ini!
Si kecil Mya sangat memahami. Puteri kecil ini pemberi semangat untukku bertahan dan terus berjuang demi kebahagiaan kami sekeluarga. Mungkin dia masih kecil, tapi aku sedar dia sangat memahami apa yang berlaku di sekelilingnya.. Permintaannya sangat jelas. Ada ibu, ada ayah, ada kakak, ada abang. Dia mahu kami bersatu! Setiap kali aku gagal melawan airmata di depannya, si kecil ini akan memelukku seolah-olah memberitahuku..."Mama, aku sentiasa bersamamu kerana aku sangat memerlukanmu!"
Aku berdosa dengan anak-anak ini sekiranya aku msih lagi bersedih dan membiarkan diri hanyut dengan permainan ini. Aku tidak mahu lagi gundah. Mengecewakan orang-orang tersayang adalah dosa yang paling berat padaku! Ya Allah! Di manakah lagi tempat yang terbaik untukku selain di sisi anak-anak ini?
Mereka ini permata hatiku, sebahagian nyawaku. Aku berjanji.. Inilah hari terakhir aku bersedih, kerana hidup ini adalah mengenai pilihan. Aku pilih untuk bangun dan menghadapi semua rintangan dengan hati yang terbuka dan mensyukuri segala nikmat yang Esa. Wallahuallam.