October 30, 2013

Termampukah aku?

Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menerangkan tentang kematian kepada anak kecil berusia tujuh tahun?  Bagaimana caranya kita terangkan hidup mati jodoh pertemuan adalah hak yang di atas?  Semuanya sudah tertulis. Itu yang kita fahami sebagai orang dewasa. Kanak-kanak, apa yang mereka fahami? Komplikatednya menjadi ibubapa ialah apabila terpaksa menerangkan sesuatu yang sukar dimengerti oleh anak-anak.

Baru-baru ini. Mya; puteri cilikku bertanya ke mana pergi kedua moyangnya? Apabila aku menerangkan kedua mereka sudah pergi buat selamanya dan semua yang hidup pasti mati, dia menyoal kenapa kita mesti mati dan adakah aku juga akan pergi sama seperti kedua datuk nenekku.  Adakah aku akan meninggalkannya sendiri, aku kaget.  Apabila aku nyatakan bahawa aku juga akan pergi kerana itu adalah lumrah kehidupan, si kecil terdiam tanpa suara hanya airmata membasahi pipinya.  Dia sebak.  Aku peluk si kecil, terharu.

Ya Tuhan! kadang-kadang hidup ini terlalu komplikated lebih-lebih lagi untuk anak sekecil Myasarah.

Aku memujuknya.  Kataku padanya, aku tidak akan sesekali meninggalkannya kerana aku ingin sekali melihatnya membesar di depan mataku.  Aku mahu mengajarnya tentang hidup.  Aku mahu melihatnya ke sekolah, ke universiti dan tentu sekali bersamanya meniti alam dewasa.  Aku mahu meraikan hidup yang singkat ini bersama dia.

Aku mahu menari bersamanya mengikut rentak dan melodi kehidupan.  Aku mahu sekali menjadi temannya; bercerita, ketawa dan menangis bersama.  Aku mau melukis kasih sayang, cinta dan kehidupan, semuanya di atas kanvas yang kami rentang seluas-luasnya bak langit membiru.  Akan kami warnakan pelangi, matahari dan bulan dengan warna-warna ceria tanpa secalitpun warna hitam.  Aku mahu dia tahu, seluruh jiwa ragaku hanya untuk dia.

Kugenggam erat jari-jarinya yang halus.  Aku bisikkan padanya; usah risau sayang!  Aku tidak mahu dia terlalu memikir yang tidak-tidak.   Jauh lagi perjalanan yang harus ditempuhnya, aku mahu dia mengharungi hari-harinya tanpa rasa curiga.

Namun begitu,  kalaulah aku boleh menghentikan waktu,  aku ingin selama-lamanya di sini.  Aku tidak sanggup melihatnya menempuh hidup yang sukar ini tanpa aku di sisi.  Sungguh aku terharu.  Tapi mampukah aku?