Setiap kali kita membuat silap, kita akan katakan "maaf sayang, mama atau papa tidak sengaja," itu ungkapan mudah untuk anak yang berusia 6 tahun. Perasaan marah anak-anak kecil mudah dipujuk tetapi bagaimana pula ucapan maaf untuk orang dewasa? Anak-anak sangat mudah fikirannya, lurus. Mudah diurus. Tapi, kita yang dewasa?
Hidup ini ibarat roda, sebentar kita di atas sebentar lagi kita berada di bawah. Semasa kita punya semua, kita mudah lupa diri seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Kita terlalu mementingkan diri sendiri lupa pada asal usul. Kita lancang berkata, kita memandang rendah pada orang lain. Sedar dan tidak kadang-kadang perbuatan dan kata-kata kita boleh menjatuhkan maruah seseorang dan kata-kata kita itulah yang menjadi punca dan racun pada penderitaaan orang lain. Kita mula lupa bahawa kita sebenarnya tiada bezanya dengan orang lain, kita semua ada perasaan, ada fikiran, ada ego. Kita ada maruah. Sebagaimana kita mementingkan maruah kita begitulah sebaliknya. Kealpaan kita pada persekitaran itulah yang menjadi punca kepada kehancuran setiap perhubungan.
Pernahkah sekali kita memikirkan bahawa Hidup ini seolah ungkapan Popular untuk 15 minit kerana realitinya apabila kita ditakdirkan berjaya kita diagungkan dan seringkali kita lupa pada persekitaran kita, seolah dunia ini kita yang punya. Kita lupa pada yang tak punya. Tetapi sekali kita jatuh dan tersungkur kita tidak lagi dipedulli. Kita dilupakan. Itulah sebenarnya realiti hidup ini.
Mungkin setiap kita perlu memohon maaf atas keterlanjuran kita pada orang lain samada kata-kata atau perbuatan yang bisa menyinggung perasaan. Cuba kita letakkan diri kita di tempatnya dan gambarkan perasaan yang terhiris dek perbuatan kita kepadanya. Mainkan kata-kata kesat kita itu dalam kotak memori kita sendiri. Ulang dan ulang lagi. Mungkin dengan cara itu kita boleh sedar sakitnya diperlakukan sedemikian. Malangnya berapa ramai dari kita yang sanggup bersemuka dan memohon maaf? Ego kita terlalu tebal. Malu kita lebih berharga dari air muka seseorang. Kita lebih rela berdiam diri. Alasan kita sangat mudah. Kita tidak biasa, tidak pandai memujuk. Kita memang dilahirkan begitu. Tetapi, percaya atau tidak, sebenarnya perkataan maaf yang kecil itu boleh membekukan masa lampau dan hati yang beku menjadi cair.
Terlajak perbuatan boleh diperbetulkan tetapi terlajak kata-kata, tidak boleh ditarik balik. Kata-kata manis yang keluar dari mulut sering dijadikan tangkal azimat sebagai pembakar semangat tetapi ucapan yang menghiris perasaan akan melekat dan menghantui diri sepanjang hayat.
Wallahuallam.
Ja