February 3, 2012

Langit akan kembali cerah

Bolehkah sekali dalam hidup ini, kita diberi peluang merasa kesal dan berputus asa dengan semua yang berlaku pada kita? Bolehkah kita putarkan masa dan kembali ke saat kita bahagia? Bolehkah kita merasa gagal seolah telah jatuh ke dalam gaung yang tersangat dalam, kerana sekiranya kita berpegang pada Rukun Iman kita tidak dibenarkan merasa kecewa dan berputus harap terhadap semua kegagalan, kerana semua itu adalah takdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Tinggi dan kita tidak akan pernah kembali ke suatu waktu dulu.

Beberapa hari yang lalu aku terlalu mudah tersinggung. Kadang-kadang aku terduduk menangisi nasib diri. Aku sedar aku terlalu memendam perasaan dan cuba mengawal keadaan dengan menyibukkan diriku dengan tugasan harian. Kadang-kadang aku terlalu lelah hingga tidak bersemangat.

Aku tidak dapat mengelak semua ini, walaupun aku sedar aku terlalu memaksa diri kerana apabila kita sering terkecewa, kita secara automatisnya akan mendidik hati kita menjadi defensif kerana kita takut apabila nanti kiranya terluka lagi kita telah bersedia dan ada perisai yang dapat menangkis kesakitan yang melanda.

Aku melayan perasaan lagi. Aku menangis lagi untuk kesekian kalinya. Aku kalah bila mendengar lagu-lagu sedih, tapi aku jadikan lirik-liriknya sebagai azimat untuk aku meneruskan perjuangan. Setelah puas aku menangis, aku bangun menghadap cermin, memberitahu diriku sendiri bahawa aku bukan seorang yang gagal, aku mungkin tidak layak pada pandangan seseorang tapi aku adalah manusia yang dijadikan Tuhan sama seperti mereka dan aku sepatutnya berbangga kerana aku terpilih untuk merasa manis pahitnya kehidupan.

Aku sentiasa memberitahu diri sendiri bahawa tangisan dan airmata bukanlah gambaran kegagalan kita tapi sebagai tanda bahawa kita bukan mesin dan masih punya perasaan kerana itulah yang menjadikan kita manusia.

Kita sering diajar supaya memaafkan dan melupakan, kita mesti ikhlas. Tapi sebagai manusia yang dijadikan tidak sempurna,semudah itukah untuk kita melegakan perasaan? Hati tidak boleh dibohongi. Kata orang apabila mulut kita memaafkan dan redha dengan apa yang berlaku, hati kita tidak tentu lagi ikhlas kerana apabila hati masih lagi berkata-kata itu bukan redha tapi itu pasrah. Pasrah itu adalah berserah. Berserah bukan ikhlas.

Tetapi adakah bila kita kita tidak dapat memaafkan seseorang, kita tidak berperikemanusian? Kita tidak layak dipanggil insan hanya kerana kita tidak dapat memaafkan? Mungkin aku salah dan pendapatku tidak setara dengan sesetengah pihak tapi secara peribadi aku percaya kita bukan pincang kiranya kita tidak dapat memaafkan seseorang, kita hanyalah manusia yang penuh dengan cacat celanya. Kita tidak sempurna walaupun kita berusaha menjadikan diri kita sesempurna mungkin. Manusia tetap manusia tidak akan pernah menjadi Malaikat atau seumpamanya.

Aku hanya manusia yang berusaha. Aku cuba menjadi seorang pemaaf kerana aku percaya aku juga bukan seorang yang sempurna.

Aku sedar apabila kita memaafkan ia akan membuat kita lebih tenang dan berjaya mengatasi ketidakadilan yang kita hadapi.

Satu perkara yang aku pasti, bahawa kita mesti berbangga dengan diri sendiri dan percaya bahawa ramai lagi yang menganggap kita hebat. Ingatlah hebatnya seseorang itu bukan dari segi rupanya, ijazah atau hartanya tetapi empati yang bersalut dengan jiwanya.

Aku mungkin gagal menjadi insan yang sempurna tapi aku tahu sekurang-kurangnya aku berusaha untuk mengajar diri dalam mengawal perasaan dan minda. Aku tidak mahu terpenjara dalam perasaan dan lemas di dalam lautan emosi.

Aku mungkin belum berjaya lagi tapi aku percaya suatu hari nanti langit akan kembali cerah kerana hujan pasti berhenti. Pelangi akan terbit di kaki langit dan hatiku akan berbunga kembali. Aku pasti.