Kebelakangan ini aku bukan aku yang dulu. Aku sering berkhayal dan lupa diri. Hanyut.
Aku nampak perubahan ini. Sayangnya walaupun aku sedar, aku tidak menahannya. Aku menjadi tidak peduli, seolah sangat egois. Aku seolah mencipta diriku yang baru atau mungkin aku berubah menjadi aku yang sebenarnya.
Aku seolah membiarkan diriku mengikut arah angin. Aku tidak lagi sensitif dengan kemahuan rohani. Aku menjadi leka. Aku lupa pada mereka yang ketawa dan menangis bersamaku. Aku lupa diri.
Memang aku tau, yang membolak-balikkan hati itu sedang memerhatiku. Aku mengaku tidak berani memandangnya. Aku tau Dia sedang mengujiku, seolah membiarkan aku. Aku sedih, aku resah. Aku kini terlantar.
Kesakitan ini seolah olah memamah riangku sedikit demi sedikit. Resah yang menyerta menjunam aku ke lorong yang sempit. Aku tercari-cari garisan cahaya.
Aku cuba membuka mataku perlahan. Aku mahu melihat awan lagi, mahu lagi menonton ceritera di dada langit. Aku mahu menghidu haruman kemboja di halaman. Mengintai merpati yang kebasahan di tepi jendela tatkala hujan belum reda.
Aku tidak mahu peduli pada kemahuan fikiran namun aku juga tidak mahu menjadi hamba pada keangkuhannya hati.
Aku mahu bangun lagi. Aku mahu berubah kembali ke bentuk asalku. Aku tidak mahu menjadi rama rama kerana aku lebih rela menjadi sang kepompong. Indahnya sayap si rama-rama dengan warna mempersona bukan impianku. Aku cuma mahu menjadi aku dan mahu menjadi hamba yang besyukur.
Dan Maal hijrah ini aku mahu kembali.