November 22, 2013

Percayalah

Wahai teman,

Percayalah.  Hidup, cinta dan peraturan memang tidak menjanjikan bahagia kerana bahagia itu ada di dalam diri kita.

Kau dan aku percaya pada cinta dan gerak hati.  Dan aku percaya Tuhan sangat memahami.

Teman,

Sungguh aku juga tidak pasti bagaimana mentafsirkan kebuntuan; rentetan dari setiap pedih pengalaman.  Aku juga sering kalah dengan peraturan.  Kadang aku benci dengan ketidakadilan.  Aku juga sering mengeluh, malah aku juga merasakan sabar sudah sampai ke garisan penamat.  Aku sering mencari jalan keluar.

Namun teman, padaku perkahwinan yang bersaksikan Tuhan dan bukannya nafsu semata-mata adalah yang paling suci.   Aku percaya jodoh di tangan Tuhan.

Perkahwinan itu adalah gabungan dua jiwa yang saling memerlukan.  Kita ditemukan dan dijodohkan kerana kita diamanahkan Tuhan untuk membina keluarga dan melahirkan zuriat.  Perkahwinan bukanlah semata-mata medium untuk kita menghalalkan perhubungan dan melempiaskan nafsu.  Perkahwinan adalah lebih dari itu.

Mencari sefahaman dalam alam rumahtangga amat sulit.  Ia memerlukan lebih dari pengertian logik akal.  Kerana di dalam perkahwinan bukan hati dan perasaan sahaja memenuhi keperluan tetapi mental juga memain peranan.

Seorang teman pernah memberitahu bahawa tingkahlaku dan peribadi seseorang adalah refleksi dari hati.  Cinta yang tulus dari hati adalah yang paling suci.  Namun cinta dan gerak hati dalam perkahwinan tidak relevan dalam situasi kita.  Tidak semua merasakan keperluan cinta dalam perhubungan.  Tidak semua seperti kita.

Memang kawan,  siapa yang tidak mahukan bahagia.  Siapa yang mahu hidup kesunyian?  Kita manusia biasa, perlukan teman bercerita yang memahami.

Apabila kesal mula meratah kebahagiaan yang kita bina, kita mula mencari alternatif lain.  Kita merasa sangat sunyi lantaran tiada lagi sefahaman.  Hati kita terluka.Ada ruang kosong di dalam hati kita.  Kita cuba mencari seseorang untuk mengisinya.  Kita mula merasakan ada damai di seberang sana.

Kita mula merasa kita berhak mendapat kebahagiaan.  Kita menidakkan apa yang kita ada.  Lalu kita mula lupa apa yang telah kita bina.  Jalan-jalan damai yang pernah kita susuri bersama tidak lagi menjadi memori indah kepada kita.  Kita terlupa.

Memang benar mereka tidak memahami kita dan sering melukakan perasaan.  Malah maruah kita pun habis dirobek mereka.   Kadang mereka tersangat kejam membiarkan kita meredah kegelapan sendirian.  Airmata kita yang mengalir tidak  bisa menyentuh hati mereka.   Tidak berharga.

Kadang-kadang kita merasakan maruah kita hanya tinggal bayang-bayang.  Kita marah.  Kita kesal kerana kita merasakan kita telah salah memilih pasangan.

Sahabatku, percayalah pada Tuhan.  Ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Ada hikmah di sebalik pertemuan kita. Kemungkinan kita ditemukan kerana Tuhan tahu.  Dia mahu kita melupakan kesedihan kita.  Dia mahu kita merasa bahagia kerana hati kita saling memahami.  Kerana itu Dia menemukan kita di saat kita amat memerlukan perhatian.  Dia mahu kita bersahabat dan saling menasihati.

Sahabatku, keindahan di seberang sana belum tentu menjanjikan bahagia dan apalah erti maruah yang sedikit itu berbanding kebahagiaan insan-insan yang tersayang yang lebih memerlukan kita.  Percayalah siapa pun yang menjadi pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita.

Percayalah.