Selalunya kita merindui seseorang setelah dia pergi meninggalkan kita. Kita merindui sang suria pabila salji mula turun. Kita merindui setelah semuanya tidak bererti lagi. Acapkali kita terlepas pandang. Kita sering terlewat.
Belajarlah menghargai kerana belum tentu yang pergi akan kembali lagi.
Aku ketemu seorang teman petang semalam. Memang sudah lama kami tidak bertemu lantaran kesibukan masing-masing. Kami bertanya khabar. Seperti biasa anak-anak menjadi topik kami kalau bertemu. Dunia kami adalah keluarga. Pendidikan anak-anak adalah yang utama.
Namun kali ini dia tidak banyak berbicara. Dia tidak ceria. Keadaannya berbeza dari sebelum ini. Dia banyak mengeluh seolah ada yang tidak beres.
Tiba-tiba dia menghulurkan tangannya padaku. Aku menyambutnya kehairanan. Katanya dia akan berpindah ke tempat lain. Belum tahu bila akan ketemu lagi. Dia terpaksa pergi. Dia tidak betah mempertahankan maruahnya lagi.
Teman ini sentiasa berkongsi masalah denganku. Hidup tak selalu indah tetapi masih bertahan. Kami sentiasa menyokong satu sama lain dan memberi nasihat. Kami bersaudara.
Pasangannya telah menduakannya dan kini mempunyai sebuah keluarga yang baru. Dia masih bergelar isteri walaupun suaminya tidak lagi bersama. Sahabat ini masih setia menunggu. Katanya selalu; dia percaya satu hari nanti suaminya akan kembali dan mereka akan saling menemani kerana dia adalah kekasih abadi. Dia mahu seiring jalan ke akhir hayat.
Aku merasa terlalu dingin. Seolah ada yang telah membeku. Aku tidak nampak kehangatan cinta yang dia perkatakan selalu. Aku keliru.
Mengapa wanita selalu menjadi mangsa keadaan? Kenapa perkahwinan sering berantakan gara-gara pihak ketiga dan di mana letaknya kesucian cinta? Aku sendiri goyah.
Hari ini aku melihat tiada lagi cahaya di matanya. Tiada lagi sinar harapan. Dia bertekad keluar dari belenggu perkahwinan. Dia tidak mahu menyakiti perasaannya lagi. Nasihat supaya bersabar tidak lagi menjadi penawar kepada luka-lukanya.
Katanya dia tak mungkin kembali lagi. Hatinya bulat, dia nekad. Katanya apabila dia membuat keputusan itu suaminya ada datang memujuk dia kembali, tetapi dia menolak dengan baik.
Katanya semua telah terlambat. Semuanya telah menjadi abu. Dia tidak mahu bermain lagi. Permainan cinta hanya untuk yang lemah. Ternyata dia merasa tertipu dan kecewa. Dia lebih rela menjalani hidup sendirian.
Aku tidak berani bersuara tapi aku tahu dia menyimpan seribu kekesalan. Pertanyaanku mungkin hanya akan menambah beban.
Aku terduduk mendengar berita itu darinya. Aku tidak sangka dia senekad itu. Aku tahu dia tidak mahu membincangkannya lagi. Tiada apa yang dapat menahannya. Noktah
Aku sayu.
"Kawan, jangan lagi kau bersedih untukku. Aku akan maju. Tiada istilah kalah lagi dalam dairi hidupku."
Aku sedih. Airmataku mengalir tanpa tertahankan. Dia memegang tanganku. Kejap. Tiada setitikpun airmata yang keluar dari matanya. Dia sangat tabah. Kami berpelukan.
Petang itu gerimis mengiringi. Aku melihat dia pergi membawa hati. Langit seolah memahami kesedihan kami. Hujan yang turun itu bagaikan airmatanya yang gugur.
Semoga kau berbahagia sahabatku. Aku akan sentiasa menyokongmu.
Detik ini aku melihat diriku sendiri. Aku melihat kelilingku. Tiada niat untuk membuat perbandingan.
Cuma kadang-kadang aku tidak mahu percaya pada cinta. Dua dekad memamah usiaku dan merobek seluruh jiwa ragaku. Aku sangsi. Aku tidak mahu peduli lagi. Namun apakan daya aku tidak betah lagi.
Hari ini aku masih di sini, walaupun hatiku tidak lagi berlari.
Aku beristighfar.