April 18, 2011

Semalam Itu Jadikan Kenangan

Setiap dari kita punya punya masa lalu. Kalau masa lampau kita itu penuh dengan kegemilangan dan kegembiraan, pasti kita tidak lokek berkongsi cerita tetapi pada yang punya kisah yang menyedihkan, siapalah yang sudi menikmati kisah kita?

Padaku kisah lalu tidak usah dibangkitkan, cuma ia akan mengundang memori luka dan parut yang yang tinggal pasti akan berdarah kembali. Kisah lalu yang menyedihkan tidak sedap didengar dan ia bukan pengalaman yang patut kita hebahkan lewat secawan kopi.

Kisah setiap dari kita berlainan, adakalanya apa yang berlaku adalah kehendak kita sendiri tetapi ada juga yang berlaku di luar kemampuan dan kawalan kita. Kita mungkin terpaksa kerana mungkin pada waktu itu kita tersepit dan mungkin itulah sahaja jalan yang terbaik yang kita ada.

Semua orang pasti melalui peringkat kehidupan. Lumrah alam mencatat masa, dari kita bayi hinggalah timbul garis-garis usia. Perlakuan, perbuatan, kebodohan, kekhilafan adalah lumrah. Siapa yang tidak membuat salah dan kadangkala terpesong dari jalan yang lurus? Kita hanyalah manusia biasa yang dijadikan Tuhan untuk membuat silap dan menyesal kemudiannya. Kita bukan malaikat malah bukan juga para ambia, kita hanya manusia biasa!

Semalam jadikan kenangan, jadikan ia sebagai memori dan lipatan sejarah yang sesekali dikenang. Kiranya kita pernah membuat silap waktu dulu, kenapa kita tidak berubah dan jadikan ia pengalaman dalam meniti usia. Kita perlu berazam untuk tidak mengulangi kesilapan lalu pada hari ini atau esoknya.

Aku tidak mahu masa lalu menghantui dan mengganggu kehidupan yang aku nikmati sekarang. Pada hematku masa lalu adalah sejarah hidup. Kita harus meninggalkannya dan menapak ke hadapan dengan penuh rasa bangga kerana sekurang-kurangnya kita berjaya melalui dan merasai pengalamannya.

Aku tidak pernah menyesal atas apa yang pernah aku lakukan dulu tetapi aku juga tidak bangga dengan apa yang pernah terjadi. Semua manusia pernah melalui zaman muda dan kadangkala tersilap menilai sesuatu. Aku mengakui itu zaman kebodohanku, tapi ia adalah masa lampauku. Aku telah meninggalkan waktu itu dan aku berharap sesiapa yang pernah terlibat dengan waktu itu, tolonglah, biarkan aku sendirian. Aku tidak pernah mengungkit kisah lalumu, jadi biarkanlah aku!

Manis atau pahitnya sesebuah kenangan itu adalah asam garam kehidupan. Kita harus berbangga dengan diri kita sendiri kerana kita pernah melalui jalan yang beronak dan berliku dan itu mungkin pengalaman yang berharga yang mungkin tak semua orang melaluinya. Pengalamanlah yang mengajar kita menjadi manusia.

Apa yang berlaku pada kita samada yang baik atau sebaliknya adalah perancangan yang telah ditulis oleh Pencipta kita. Adakah kita sebagai manusia berani menolak takdir dan berani mempertikai? Adakah mengungkit sejarah silam orang lain sesuatu yang membanggakan?

Padaku mereka yang terlalu obses dengan masa lalu, dan seringkali menjadikannya sebagai ugutan untuk melukakan orang lain adalah mereka yang tidak mahu berhadapan dengan realiti hidup. Mereka berusaha mengungkit apa yang berlaku dulu dan tidak mahu menerima hakikat bahawa masa lalu adalah sejarah. Kita tidak akan kembali semula ke sana walaupun kita cuba sedaya upaya kita. Itu realiti yang perlu dihadapi oleh semua orang.

Aku tidak mahu tunduk pada kenangan silam dan aku juga tidak mahu menjadi pak turut pada keinginan orang lain. Aku mahu hidup hari ini dengan penuh bangga dan harga diri kerana aku telah berjaya meninggalkan semalam. Aku mahu berhadapan dengan hari tua dengan penuh keazaman dan cita-cita untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Aku mahu menjadi manusia baru yang lebih bersyukur di atas segala nikmat dan ganjaran yang telah Tuhan kurniakan padaku!

Wallahuallam.