April 12, 2011

Permata Hati

Menjadi seorang ibu adalah anugerah yang paling berharga pada semua individu. Pengalaman mengandungkan mereka selama sembilan bulan sepuluh hari adalah pengalaman paling manis yang tidak terlukiskan. Dari saat mendapat tahu berita kita disahkan hamil dan menjalani hari-hari dengan kerenah si kecil di dalam rahim semuanya anugerah Tuhan yang tak ternilai.

Pengalaman kita dari hari ke sehari, dari tahun ke tahun, melihat mereka membesar di depan mata dan kerenah mereka dari bayi ke alam remaja, membawa kita sendiri ke dalam lipatan memori. Kita teringat kembali kisah kita semasa kecil dahulu dan seringkali tertanya apakah mereka mengikut jejak dan tingkah laku kita dahulu? Uniknya, karakter mereka seolah terbahagi dua, misalnya senyuman dan suara mirip ayahnya sementara sikap dan perlakuannya mirip kepada si ibu.

Beberapa hari ini, aku amat merindui anak-anak. Aku kesunyian.

Hanya hujung minggu kami dap at berkumpul bersama. Bak kata orang kami seperti "weekend family" sahaja. Aku sedih tetapi aku akan cuba sedaya upaya menjadikan waktu yang terhad itu berharga dan bermakna untuk kami sekeluarga.

Hujung minggu lalu, puteriku pulang dari asrama. Hatiku berbunga saat dia memelukku. Mendengar dia berceloteh dan memerhati sifatnya yang punya harga diri yang tinggi, aku kagum. Aku bersyukur kerana dia terpilih memasuki sekolah itu dan aku berharap persekitaran yang sihat akan menjadikan puteriku seorang yang lebih bertanggungjawab dan matang.

Aku mahu menjadi ibu yang terbaik untuknya dan sahabat yang paling setia bersamanya. Aku mahu berkongsi cerita dan menjadi rujukan kepadanya kelak. Aku mahu sentiasa ada di sisinya tatkala susah dan senang.

Dua minggu lalu kami sempat menghabiskan waktu hujung minggu bersama dua puteraku yang pulang dari asrama. Tidak banyak yang diperkatakan tapi aku tahu mereka sentiasa mengharapkan kesejahteraanku dan dapat menjalani kehidupan di sekolah dengan tenang dengan aktiviti yang mereka sertai. Sekurang-kurangnya mereka bijak membahagikan masa dan menyalurkan perasaan celaru dengan aktiviti yang mereka sertai.

Si sulong sibuk dengan bengkel peperiksaan yang bakal diduduki sementara yang kedua sibuk dengan kokurikulum, aktiviti silat dan debat. Aku gembira dengan pencapaian mereka setakat ini walaupun masih ada satu atau dua matapelajaran yang mereka tidak dapat kuasai tapi aku berharap kami akan dapat menyelesaikannya secepat mungkin.

Di rumah, hanya tinggal yang ke empat dan yang bongsu. Hidupku seharian dipenuhi dengan aktiviti menghantar mereka ke sekolah, pusat tusyen, kelas muzik, memasak, pergi ke gym sekali-sekala, membuat kraftangan sebagai hobi pilihanku dan tentunya berkhayal tentang hidup yang lebih membahagiakan.

Anakku yang ke empat aktif dengan sukan ragbi. Baru-baru ini dia dan pasukan sekolahnya berjaya memenangi beberapa pertandingan tetapi aku terpaksa memintanya berhenti dari terlalu aktif kerana pelajarannya tidak begitu memuaskan. Aku bukan mahu menghalang tetapi aku mahu
dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajarann.

Aku juga mahu dia gembira kerana aku tahu jauh di sudut hatinya, dia terlalu kecewa dengan apa yang berlaku antara aku dan ayahnya. Kami mendaftarkannya ke kelas muzik, biola menjadi pilihannya. Aku turuti, biar dia belajar meluahkan perasaan dengan cara yang sihat.

Si bongsu, Mya lebih banyak mengekspresi diri dengan melukis dan menonton televisyen. Celotehnya kadang-kadang sepereti orang dewasa dan yang paling membahagiakan bila dia mengucapkan kata-kata sayang kepadaku. "You are the best mom in the whole world, mom!" haha...siapa yang tidak terpana dengan kata-kata secomel itu?

Keakraban mereka dengan ayah mereka, membuat aku lebih sensitif. Aku mahu mereka bahagia, ada ayah, ibu dan rumah seperti syurga. Aku tidak boleh ego dalam hal-hal yang melibatkan hati dan perasaan. Aku mahu mereka berjaya di dalam hidup di dunia dan di akhirat. Tercalarnya perasaan mereka adalah kesalahan aku dan pasangan.

Aku bahagia dengan anak-anak ini, aku tidak keruan tanpa mereka. Mereka adalah nyawaku. Aku masih di sini kerana mereka. Dulu aku sering mempertikai; hidupku tidak bertujuan, tetapi setelah bertahun-tahun menghadapi ujian demi ujian, aku sedar mereka adalah tujuan hidupku selama ini.

Saat mencatat nota ini, aku sedang merindui mereka dengan sepenuh jiwa. Aku rindu dengan hilai tawa dan celoteh mereka, aku rindu suara mereka dan aku rindukan kerenah mereka.

Mama terlalu merindui kalian semua anak-anakku. Tiuplah semangat juang kepada mama ini, agar kita akan sentiasa bersama menghadapi hidup ini dengan penuh semangat dan ketabahan yang kita miliki. Bersama kita membentuk maruah dan harga diri kerana itulah sahaja kunci kepada kebahagiaan kita di sini dan di sana!

Wallahuallam.