April 21, 2011

Berundurlah

Tulisanku kali ini berkisar kepada kedangkalan fikiran sesetengah pihak yang menganggap diri mereka berkuasa tetapi merasa teraniya dek komentar orang lain.

Aku menulis di sini kerana aku dapat meluahkan perasaanku. Aku tidak sengaja mempertikai perbuatan orang lain, semua yang tertulis di sini adalah pengalaman peribadiku sendiri. Aku jadikan blog ini sebagai diari dan tempat aku mencurahkan isi hati. Aku mahu berkongsi cerita yang mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban hati dan perasaan sekaligus dijadikan tauladan.

Aku tidak mahu dilabel sebagai kejam dan sengaja mempertikai kehidupan sosial orang lain. Aku tidak peduli dengan semua kekarutan itu. Aku adalah aku dan aku tidak berminat dengan apa pun yang orang lain lakukan. Siapa yang makan cili, dia yang merasa pedas!

Prinsip hidupku mudah. Aku tidak mengganggu sesiapa, jadi aku tidak mahu diganggu! Aku tidak berminat dengan kehidupan orang lain lebih-lebih lagi yang melibatkan kehidupanku dan keluarga.

Dalam prinsip yang mudah ini, kadang-kadang masyarakat tidak dapat menerima. Setengah dari mereka yang terkadang terbawa dengan perasaan cemburu tidak dapat berfikir dengan waras. Apabila emosi dikawal nafsu, seorang yang berpendidikan setinggi manapun akan tebawa-bawa dengan perasaan.

Sesiapa pun di dalam dunia ini akan marah sekiranya hak privasi dan hak bersuara mereka diperkosa, dalam ertikata yang lebih mudah; diceroboh!

Aku tidak memberi komentar secara melulu dan setiap tulisanku tidak menuding secara khusus. Padaku sesiapa yang terlibat secara langsung atau tidak langsung tidak berhak menuduhku menjatuhkan maruah mereka kerana setahu aku, aku tidak pernah menulis nama sesiapa di dalam setiap tulisanku.

Aku isteri. Wanita yang dinikahi secara sah dari segi agama mahupun undang-undang. Aku berhak dari segi apapun untuk menegakkan keadilan demi keluarga. Aku akan melindungi keluargaku dengan nyawaku sendiri sehingga ke akhir titisan darahku.

Hal-hal yang berlaku dalam hidupku adalah berkisar kepada orang ketiga. Aku sangat tidak bersetuju dengan perbuatan dan kebiadapan individu sebegini.

Padaku, setiap manusia punya harga diri, perasaan malu, perasaan hormat kepada diri sendiri dan orang lain dan tentunya kelakuan sumbang seperti ini hanya merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Seorang yang berfikiran waras samada lelaki atau wanita tidak akan sesekali menjadikan hawa nafsu sebagai asas dan sandaran kepada kebahagiaan mereka sendiri.

Memasuki pintu sebuah rumah yang tidak berpenghuni adalah tidak sopan malah dianggap sebagai satu jenayah kerana ia pencerobohan, apatah lagi ke dalam rumah yang berpenghuni. Mereka mungkin dipelawa masuk, tetapi adakah mereka merasa puas sekalipun penghuni lain tidak merai kedatangan mereka?

Kiranya mereka tetap menegakkan apa yang mereka labelkan sebagai hadiah dan kebahagiaan hakiki, itu semua karut. Bagaimana mereka boleh merasa bahagia di atas kesedihan orang lain? Adakah mereka merasa puas dan tercapai segala hajat? Itu adalah sifat orang-orang yang egoistik.

Meruntuhkan institusi keluarga orang lain adalah satu pengkhianatan dan jenayah paling kejam di dunia ini. Tidak kira ke mana pun anda pergi, ke pelosok mana pun yang anda diami, anda tetap salah! Meski di dunia tiada mahkamah yang dapat mengakkan keadilan tetapi tunggulah balasan Tuhan di Mahkamah akhirat nanti!

Kadang-kadang aku tertanya sendiri, bagaimana perasaan orang-orang sebegini. Bagaimana mereka boleh hidup di atas kesengsaraan orang lain. Aku tidak faham dan aku juga tidak ingin faham.

Apa yang aku tahu, aku tidak akan sesekali mengalah dengan keangkuhan mereka. Empayar rumahtangga yang aku bina dan pertahankan selama ini adalah kehidupanku dan aku tidak berminat untuk berkongsi dengan sesiapapun. Mungkin anda telah berjaya menggoda pasanganku sehingga dia kalah dengan 'syaitan' yang bertopeng manusia seperti anda, tapi anda tak mungkin dapat mengusirku dari hidupnya.

Lebih dua puluh tahun bersama membina istana ini tidak akan sama dengan setahun anda nikmati bersama dia. Aku tidak sedikitpun gentar dengan ugutan anda kerana aku tidak sedikitpun berminat dengan kebiadapan anda!

Berundurlah. Itu perkataan yang paling tepat kepada sesiapa yang berani menceroboh kebahagiaan orang lain.

Wallahuallam