April 7, 2011

Perubahan Ada Hikmahnya

Ternyata dalam sekelip mata pun seseorang itu boleh berubah. Perubahanku ternyata berkisar kepada persekitaran dan pengalamanku menghadapi kehidupan.

Dalam sebulan ini aku lebih banyak memerhati dan menilai keadaan diri dan keluargaku. Aku amat berbesar hati kerana punya keluarga dan teman-teman rapat yang sentiasa menyokong dan memberi semangat.

Alhamdulillah, aku lebih positif dan tidak lagi terlalu tertekan dengan masalah diri dan lebih terbuka dengan kenyataan hidup. Kini aku lebih fokus dan dapat berfikir dengan tenang tanpa medikasi atau perlu menemui pakar lagi.

Apabila kita lebih terbuka dengan kenyataan hidup dan dapat menerima kelebihan dan kekurangan diri serta dapat menilai permasalahan dengan lebih positif, kita pasti menjadi lebih berkeyakinan untuk menghadapi hari depan.

Masalahku dengan pasangan sememangnya amat menyedihkan dan tentunya memberi impak kepada anak-anak khasnya. Anak-anak lebih tertekan dan aku sebagai ibu terpaksa memainkan peranan yang lebih besar dan menyembunyikan emosiku agar mereka tau bahawa ibu mereka adalah tempat untuk mereka bergantung harap. Kenyataan sesungguhnya memang sukar diterima tetapi sekiranya aku terlalu berharap semuanya akan pulih seperti sediakala dalam sekelip mata adalah penafian yang paling menyedihkan. Kekuatanku adalah anak-anak, jadi aku mesti memperkasakan diriku ke tahap maksima agar mereka merasa selamat.

Seperti yang aku pertahankan selalu; cinta itu susah dimengerti dan misterinya cinta adalah mainan alam. Apabila cinta beralih arah, tiada apa yang dapat kita lakukan melainkan berserah kepada Yang Maha Esa.

Kekuatan sesebuah perhubungan itu bergantung kepada kedua belah pihak. Jujur, ikhlas, saling menerima, percaya-mempercayai dan memaafkan adalah asas-asas kepada kekuatan perhubungan. Sekiranya kesemua elemen di atas tidak dipraktikkan, peratusan kepada kegagalan adalah terlalu besar.

Apa yang berlaku padaku dan pasangan juga mungkin juga misteri alam. Kami tidak seperti pasangan lain, aku akui itu. Kami berdua seolah orang asing di rumah sendiri. Kami jarang berkomunikasi, mungkin dulu kami anggap bahawa itu adalah lumrah dalam perkahwinan. Suami mungkin terikut dengan cara arwah ibubapanya dulu dan aku pula menganggap itu semua normal padahal itu bukan yang sepatutnya berlaku pada pasangan berkahwin. Kami berbeza dalam banyak segi; kami tidak punya persamaan langsung. Dia menyukai A, aku lebih meminati B. Dia sukakan aktiviti lasak dan aku pula sukakan kedamaian.

Aku terlalu mencintainya dan menerima segala kelebihan dan kekurangannya dan kecacatan perkahwinan kami sebagai takdir Tuhan. Aku selalu menganggap dan berharap suami juga seperti aku, yang dapat menerimaku seadanya, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku fahami selama ini.

Aku tidak percaya pada cinta yang terbahagi dua. Aku percaya cinta hanya lahir untuk seorang insan dalam satu-satu masa. Sekiranya ada satu lagi perasaan cinta untuk orang lain dalam waktu yang sama itu adalah satu kekeliruan. Lelaki atau wanita, keduanya sama, punya naluri dan perasaan yang sama cuma tanggungjawab lelaki lebih dari wanita. Itu sahaja yang membezakan mereka. Itu pendapat peribadiku. Cinta kedua tidak akan sama seperti yang pertama dulu.

Padaku, cinta kedua atau ketiga lahir dari kegagalan dalam cinta pertama dan kita cuba mencari kebahagiaan dalam cinta yang seterusnya. Berjaya atau tidaknya kita dalam sesebuah percintaan itu bergantung kepada diri kita sendiri samada kita lebih berusaha untuk menjayakannya ataupun kita sekadar melepaskan perasaan yang keliru.

Komplikatednya masalahku ialah suami tidak dapat berfikir dengan lurus dan keliru dengan perasaan dan dirinya sendiri. Baginya, dia masih mancintaiku tetapi dalam waktu yang sama dia mahu mencintai orang lain juga. Ironisnya ialah, aku tidak setuju tetapi terpaksa menerimanya atas alasan yang paling tulus, kerana anak-anak! Cintaku padanya sudah hampir mati. Aku keliru dengan perasaan ini. Bila aku berterus-terang padanya, dia tidak dapat menerimanya. Baginya, kiranya aku masih teringat padanya dan masih merasa sunyi sekiranya dia tiada, itu bermakna cintaku masih bersisa untuknya. Aneh atau ego?

Hari-hari aku lalui dengan perasaan yang agak tenang dan menerima keadaan dengan lebih matang. Kita tidak boleh mengubah perasaan orang lain melainkan dia yang mengubahnya sendiri. Kita telah dewasa dan boleh berfikir dengan sendiri tanpa bantuan orang lain. Buruk baiknya perbuatan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.

Aku serahkan pada Tuhan. Aku tidak mahu mengambil pusing apa yang suami lakukan dan fikirkan. Itu hak peribadi masing-masing. Aku mahu menjadi diriku sendiri dan membimbing anak-anak sehingga ke menara gading. Aku mahu menjadi contoh yang paling baik untuk mereka dan menjadi ibu yang paling memahami.

Inilah sahaja jalan terbaik yang dapat aku lakukan demi untuk anak-anak dan diriku sendiri. Kebahagiaan terletak di bahuku sendiri.

Kini setiap hari aku menghadap cermin, berjanji pada diri sendiri. Aku berikan paling kurang lima tahun untukku bersabar dengan semua ini. Sekurang-kurangnya, lima tahun lagi si kecil sudahpun agak remaja dan yang sulong tentunya sudah ke universiti. Mereka lebih dewasa pada masa itu dan tentunya aku sudah lebih bersedia!

Wassallam.