April 13, 2011

Di Hujung Sana Ada Sinar

Peristiwa sedih yang menimpaku selama ini mengajar aku menjadi lebih matang dan dewasa. Aku belajar menjadi manusia yang sabar, penuh perhatian dan sensitif.

Selama ini aku terlalu bersabar dan seringkali menganggap ada lagi individu di luar sana yang lebih menderita dariku. Masalah yang menimpaku selama ini hanyalah cebisan derita dan cerita sedih yang tidak patut diambil pusing. Aku sering pasrah dan mengalah. Aku sentiasa mencari jalan agar aku dapat memaafkan dan mengambil iktibar dari setiap kegagalan.

Sesekali aku masih terfikirkan keadaan diri dan terkeliru dengan perasaan sendiri. Sungguh, aku bersyukur dengan kehadiran teman-teman rapat yang tidak pernah lelah meringankan beban fikiran dan kekusutanku. Aku bangga punya teman-teman yang sentiasa ketawa dan menangis bersamaku. Nasihat dan kekuatan emosi yang mereka berikan kepadaku akan sentiasa menjadi pegangan hidupku.

Seseorang itu tidak dikira berjaya hanya kerana dia memenangi banyak pertandingan, tetapi dia akan dikira menang kerana banyak kegagalan yang telah ditempuhinya!

Kata-kata ini membuat aku sedar dan bersyukur dengan kesulitan yang menimpaku sekarang. Aku bukan bongkak atau meninggi diri tetapi aku sedar akan kekuatan diri. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Aku pegang kata-kata itu. Aku percaya setiap yang bermula pasti ada hujungnya. Aku pasti penderitaanku ini hanya sementara.

Kadang-kadang kita tidak sedar kemampuan dan kekuatan kita sehingga ada yang memberitahu. Aku sering diberitahu teman-teman dan mereka yang mengenaliku bahawa aku seorang yang sangat tabah, sabar dan pasti dapat melalui kegetiran hidup ini. Dulu aku tidak pasti. Aku sering menyoal diri dan tertanya sendiri,aku ini diperbuat dari apa, kerana aku terlalu sabar dan mengalah walau terlalu banyak masalah yang menimpa.

Aku tidak mahu mempertikai apa yang berlaku di luar sana, antara suami dan temannya itu. Aku tidak mahu mengaibkan mereka kerana aku tahu ini adalah soal maruah dan harga diri. Mereka adalah dua orang dewasa yang berpelajaran tinggi; yang patut sedar apa yang mereka lakukan.

Bertepuk sebelah tangan tak mungkin berbunyi. Aku tidak menyalahkan sebelah pihak sahaja, sekiranya suami tidak membuka pintu dan mempelawa, tidak mungkin ada yang sudi. Aku kesal kerana mereka terlalu mementingkan diri dan mempertahan hak dan kebahagiaan mereka sendiri. Di mana letaknya firasat dan perasaan kemanusiaan di dalam diri mereka.

Aku bukan mempertikai tetapi sebagai manusia, sebagai suami, ayah kepada anak-anak dan membesar sebagai muslim yang baik bagaimana seorang lelaki itu boleh berubah begini hebat? Manakala di pihak sana; aku tidak pasti bagaimana orangnya, dan bagaiman cara dia dibesarkan, tetapi sebagai wanita, punya keluarga dan berpendidikan tinggi bagaimana dia boleh melihat semua ini sebagai sesuatu yang membahagiakan. Terkadang aku terfikir bagaimana sahabat handai dan keluarganya menilai kelakuannya; adakah mereka setuju dengan apa yang dia lakukan dan apakah mereka tidak sedar semua ini menyebabkan kemusnahan sebuah institusi kekeluargaan.

Pernah ada teman-teman yang menyaran aku menemui sendiri wanita itu dan menilai sendiri sifat dan perwatakannya. Maaf, aku bukan sombong atau ego, tapi aku punya prinsip sendiri. Aku tidak akan pernah menemuinya atau menghubunginya selagi aku masih hidup. Harga diri seseorang itu terletak pada sifat dan kelakuannya. Maruah sebagai wanita dan seorang muslimah tidak ada di dalam dirinya. Padaku seorang yang dewasa dan berpendidikan tidak akan sesekali melukakan hati seorang wanita yang lain dan maaf sekali lagi, biar aku nyatakan di sini; dia bukan setarafku!

Aku tidak berebut dengan sesiapa dan aku anggap dia hanyalah salah seorang pemain dalam permainan ini yang mana aku tidak berminat untuk turut serta!

Malang sekali kita sebagai wanita terpaksa berdepan dengan masalah sebegini dan terpaksa bertahan demi keluarga dan anak-anak. Pun begitu aku sangat bangga menjadi wanita muslim, punya asas agama dan datang dari keluarga yang mementingkan kekeluargaan.

Tidak pernah sekali keluargaku menyarankan aku meninggalkan suami. Mereka lebih banyak menasihatiku supaya bersabar dan menerima semua ini sebagai takdir Tuhan. Kata mereka, mungkin ini semua ujian dan bahagian hidupku, dan begitu juga kepada suami. Ini semua ujian untuknya juga.

Aku kenal beberapa orang teman yang sangat positif dalam menangani masalah yang menimpa mereka. Bagi mereka hidup ini terlalu singkat untuk berbalah sesama sendiri.

Seorang teman yang ku kenali telah menderita dalam masalah rumahtangga lebih dari sepuluh tahun. Kakak ini sangat positif dan terlalu sabar dengan kerenah suaminya. Katanya, awal dulu dia memang sangat menderita dan terpaksa menangani masalah keluarga dan anak-anak sendirian kerana suaminya tidak mengambil tahu tentang anak-anak dan dirinya. Dia memang tidak tahan dengan semua itu tetapi dia tekad bertahan demi anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan dia sebagai pembimbing.

Katanya lagi, kini setelah bertahun-tahun mengharap suami berubah tetapi belum nampak lagi perubahan itu, dia kini lebih terbuka dan berserah. Tiada lagi istilah duka dalam diari hidupnya. Anak-anak semakin dewasa dan tidak lagi bergantung harap dengannya lagi, jadi beban yang selama ini ditanggung hampir sampai ke garis penamatnya. Aku melihat situasi kakak ini sebagai inspirasi untukku lebih bersyukur dan kuat dalam menghadapi hidup ini.

Sahabat baikku juga menghadapi masalah dengan pasangannya tetapi bukan masalah yang melibatkan orang ketiga tetapi berpunca dari suaminya sendiri. Dia terlalu dikawal dan amat patuh menurut segala perintah suami dan aku kagum dengan ketaatannya kepada suaminya. Kata temanku ini, setiap kali dia menghadapi masalah dia cuma menganggap semua ini hanyalah sementara, suami dan anak-anak juga sementara. Hidup yang singkat ini terlalu berharga untuk disia-siakan, jadi lebih baik dia tidak mengambil endah. Aku kagum kerana sahabatku ini sangat positif dan percaya diri.

Kedua mereka ini adalah inspirasi untukku menjadi lebih matang dan bersyukur. Positif dan terbuka.

Aku sedar sedikit sebanyak aku telah menjadi seorang yang lain; yang lebih positif dan sekarang aku lebih bijak menyalurkan perasaan gundah kepada sesuatu yang lebih berfaedah. Aku tidak lagi mengambil pusing dengan apa yang suami lakukan di luar dan aku lebih tegas dengan apa yang aku mahukan. Aku bukan aku yang selemah dulu; yang menurut segala kehendak pasangan secara melulu.

Tipu kalau aku katakan aku tidak lagi bersedih. Sedih dan gembira itu adalah lumrah kehidupan. Sepertimana aku katakan selalu, jika kita tidak luka dan berdarah kita ini bukan manusia dan kiranya kita masih bersedih dan berduka, kita tahu kita ini bukan mesin.

Semoga kita semua lebih tabah dalam mengharungi ujian hidup ini. Kepada aku dan semua yang menderita, ingatlah kita masih punya kekuatan dan Tuhan tidak kejam. Pasti kekusutan ini dapat dileraikan dan penderitaan ini pasti ada penghujung yang menggembirakan.

Wallahuallam.