Apabila kita terlalu berharap mendapat kebahagiaan, kita selalunya akan kembali ke waktu silam, cuba memperbetulkan kesilapan lalu. Kita takut kiranya kita akan mengulanginya lagi. Dek kerana terlalu obses mengharapkan bahagia kita abaikan apa yang ada di depan mata kita. Pada akhirnya tiada apa yang muncul, kita terus-terusan lemas dalam angan-angan.
Mungkin kadang-kadang juga bila kita sentiasa dilanda tengkujuh, bersilihganti dengan kemarau, justeru kita lupa pada angin yg lembut menyapa. Kita lupa pada pelangi yang hadir tatkala hujan pergi, kita lupa pada rumput menghijau. Kita lemas di dalam kabut perasaan.
Aku percaya bahawa Bahagia itu subjektif. Cara kita menafsirkan bahagia itu juga pelbagai. Ada yang menganggap material sebagai punca kebahagiaan, ada yang bermatian mengatakan ianya adalah cinta. Sebenarnya kita perlukan kedua-duanya. Ianya saling berkait, memainkan peranan masing-masing.
Material untuk kesinambungan hidup manakala cinta berperanan sebagai makanan untuk nurani. Tanpa salah satu hidup kita pasti pincang.
Namun ada juga yang beranggapan bahagia atau derita adalah takdir buat mereka. Mereka tidak pernah memikirkan tentang material atau cinta. Mereka cuma percaya pada takdir.
Sepanjang hidupku aku telah ketemu ramai wanita perkasa jiwa raganya. Aku melihat mata-mata yang berduka di antara hilai tawa yang dipaksa. Tanpa rasa marah pada kesengsaraan yang menguliti jiwa, mereka berserah semuanya pada takdir. Mereka gundah tapi masih berdiri dan ketawa. Aku rasa kecil.
Kakak iparku datang menziarah kami.
Aku duduk bersama dia di balkoni petang semalam. Dia termenung jauh. Bunyi kenderaan, kicauan burung berselang seli seolah tenggelam dalam menungannya. Kami kaku. Aku sayu melihatnya.
Seawal dua puluh tahun dia telah bergelar balu. Tanpa berpeluang meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi dia dipaksa berkahwin. Apabila dia diceraikan dia terus berperanan menjadi pengasuh adik-adiknya.
Pabila adik-beradik yang lain semuanya telah tamat pengajian dan berkeluarga kakak terus bersama ibu bapanya iaitu mertuaku. Menjaga keduanya sehingga akhir hayat mereka. Dunianya selama ini cuma di sekitar rumah. Kakak kini tinggal sendirian. Tanpa ibu, ayah, suami atau anak-anak. Kakak sebatang kara. Aku hiba.
Kakak tenggelam dalam lamunan. Aku tidak dapat meneka fikiran kakak tapi aku tau hatinya sangat kesunyian. Betapa bertuahnya aku berbanding kakak. Aku punya keluarga. Ada suami dan anak-anak tapi kakak tidak punya sesiapa.
Aku teringat seseorang lagi. Dua kali dia tewas dalam perkahwinan. Cintanya tak berharga untuk pasangannya. Begitu murah harga sebuah perkahwinan. Kini dia juga bersendirian. Mungkin kali kedua menjanda, sahabatku ini terus patah hati. Dia tidak lagi mengharapkan cinta. Dia kecewa. Semangatnya terus bungkam. Hidupnya memang sukar tetapi aku tau dia masih berharap ada sinar yang menunggu. Dia tidak berputus asa walaupun semangatnya hampir tiada. Dia masih mahu meneruskan hidup.
Terkadang aku terfikir apakah takdir menganaktirikan mereka? Mengapa ini semua terjadi? Apakah ini takdir yang lahir bersama mereka atau inikah yang dinamakan karma. Tetapi adakah itu yang sebenarnya? Apakah mereka telah pasrah? Bukankah pasrah bermakna berserah? Namun aku salah. Persepsi aku tentang bahagia jauh berbeza dengan mereka.
Wanita-wanita ini sangat kuat. Beriman dan percaya pada kebesaran Tuhan dan mereka yang setabah ini percaya bahawa ada hikmah di sebalik setiap tangisan mereka. Mereka percaya pada Yang Maha Kuasa. Mereka percaya Al-Quran penenang jiwa.
Mereka pasrah dengan kesulitan hidup, namun tidak kalah dengan penderitaan. Pada mereka hidup mesti diteruskan. Mereka beriman. Mereka tidak peduli dengan cinta atau harta benda. Mereka percaya pada yang Maha Esa. Mereka percaya bahagia dan derita adalah takdir yang tertulis untuk mereka.
Aku melihat keduanya. Aku insaf.
Kini apa yang aku tau, pasrah bukan bermakna kita berserah juga bukan bermakna kita kalah. Ini bermakna walau apapun perspektif kita tentang hidup, hakikatnya Bahagia itu tak datang sendiri. Kita yang seharusnya berusaha mencarinya. Bukan cinta atau material yang menerajui kebahagiaan kerana kebahagiaan itu sebenarnya ada di dalam diri kita sendiri.
Dan apa yang aku pasti; apa yang dinamakan takdir itu bukan bermakna kita harus mengalah dan berserah. Kerana dalam perjalanan menuju bahagia kita seharusnya lebih tabah.
Aku mendoakan yang terbaik untuk kakak dan sahabatku itu. Semoga kebahagiaan yang mereka cari itu akan datang akhirnya.
Wallahuallam.