Alhamdulillah pembuka kata bagi suara hatiku kali ini, juga pembuka tirai bagi tahun 2011 yang sudah hampir menjangkau bulan yang ketiga.
Sudah lama aku mendiamkan diri, baik dari segi aktiviti sosial mahupun kegiatan seharian. Lebih setahun kebelakangan ini, aku lebih banyak menyendiri, muhasabah diri, mencari diriku sendiri dan menilai buruk baiknya sesuatu yang terjadi.
Awal tahun 2011, menjadi titik tolak hidupku. Itu yang aku harapkan sebenarnya. Bagiku, kita merancang, yang menentukan tentunya Allah (swt). Siapa yang tidak mengharap yang terbaik, tapi bukankah Allah lebih mengetahui? Yang tertulis itulah yang akan menjadi jawapan atas setiap persoalan.
Orang yang paling aku cintai selama ini, yang bagiku telah mendidikku menjadi insan, anak, isteri dan ibu telah melukakan perasaan dan egoku sebagai wanita. Hujung tahun 2009 dia telah meminta izin untuk berkahwin lagi. Dunia rumahtanggaku goyang dan aku menjadi terlalu murung walaupun pada dasarnya aku percaya itu takdir Tuhan. Aku sebolehnya cuba untuk bersikap positif, lebih banyak mempertimbangkan soal hati dengan kewarasan fikiran. Aku sentiasa berfikir dengan kepala, aku tolak permintaan hati yang lebih banyak mengawal emosi. Aku setuju dengan permintaannya kerana waktu itu aku percaya, cinta wujud dalam dua jiwa. Kiranya satu jiwa mati dan tak berperasaan lagi, satu jiwa lagi terpaksa mengalah kerana tiada gunanya kita memaksa orang lain mencintai kita kerana pada akhirnya kita yang akan merana.
Pertarungan dengan perasaan bukan sesuatu yang mudah. Aku sentiasa mengalah dengan permintaaannya, menyokong dan berdoa agar dia menemui apa yang dia cari selama ini. Mengenang kembali tempoh-tempoh waktu kedukaan yang menjerat perasaan itu, demi Tuhan aku sangat kecewa.
Dari satu alasan ke satu alasan yang lain.. Setelah hampir dua puluh tahun kami hidup bersama, aku seolah tidak kenal siapa dia sebenarnya. Katanya, dia telah menemui sebahagian dari jiwanya dan dia tak boleh hidup tanpa jiwanya itu. Aku? Dengan kepayahan dan hati yang hancur berkecai aku gagahi juga untuk berdiri dengan perasaan yang tidak menentu. Aku setuju dia menikah lagi. Aku katakan padanya waktu itu; sekiranya inilah yang terbaik yang dapat seorang teman baik berikan, aku rela berkorban untuknya, kerana hanya teman baik yang akan faham apa yang aku buat untuknya.
Aku sebolehnya cuba untuk mengawal diri, berkelakuan seperti biasa lebih-lebih lagi bila berdepan anak-anak yang makin membesar dan dapat mengagak apa yang berlaku. Syukur Alhamdulillah, aku berterus terang dengan semua anak-anak, kesemuanya amat positif dan sangat matang berdepan dengan permasalahan ini. Semuanya amat 'supportive' dan menasihati aku agar bertenang dan kuat menghadapi dugaan ini.
Anak-anak adalah sahabatku yang paling setia.
Aku percaya pada satu hal. Walaupun suami atau isteri, tidak bahagia bersama, sebolehnya jadilah seperti kawan di depan anak-anak kerana gemilangnya mereka suatu hari kelak adalah dari usaha berterusan ibu dan bapa mereka.
Aku dan suami walaupun tidak sependapat dalam banyak hal tapi bila berdepan soal anak-anak, kami bergabung demi kebahagiaan mereka.
Setahun aku menderita, tapi aku tidak pernah putus berdoa agar Tuhan mengembalikan kebahagiaan kepadaku dan menggantikan kesedihanku dengan sesuatu yang lebih baik. Alhamdulillah berkat doa kawan-kawan, famili dan tentunya anak-anak akhirnya suamiku kembali kepadaku semula.
Aku tidak akan bertanya kenapa dan apa yang telah terjadi antara mereka berdua. Apa yang aku tau, dia telah kembali dan mahu mencuba semula. Pada sesiapa yang terlibat, aku doakan yang terbaik untukmu. Suatu hari nanti anda mungkin temui kebahagian yang anda cari.
Kepada kebahagian yang mula menyinari, aku berdoa agar yang lepas menjadi pedoman untuk aku lebih bersyukur dan menghargai hidup ini.