Melalui pengalaman dan pengamatan aku, ya, mungkin aku salah tapi aku percaya cinta hanya membara semasa kita mula-mula bersama.. Mungkin semasa masih muda remaja. Apabila usia meningkat dan keadaan tak sama seperti dulu, mungkin cinta tu akan pudar, melainkan kita berusaha memelihara perasaan kita satu sama lain.
Dua bulan yang lalu, suami meminta izin berkahwin lagi. Sebagai wanita, siapa yang tak terhiris perasaannya? Dunia ku gelap seolah-olah tak berdaya hendak meneruskan kehidupan ini. Aku percaya pada kesetiaan dan kejujuran dan aku percaya setiap nyawa di dunia ini berhak mendapat kebahagiaan mereka sendiri. Berhari-hari aku menangisi 'kejatuhanku'. Aku minta dilepaskan kerana saat itu aku tak fikir dapat bertahan sekiranya aku masih menjadi isterinya. Aku bertanya pendapat teman-teman rapat dan aku nilaikan setiap kekurangan yang ada padaku, akhirnya aku sedar pada satu hal.. 'aku tidak berhak memaksa seorang yang lain mencintaiku, aku tidak mahu memegang kebahagiaannya hanya kerana aku tak bahagia! Aku tahu bagaimana rasanya dan aku tak mahu berlaku kejam kepada orang yang aku cinta..
Aku dan cintaku yang tak bersyarat! Aku percaya pada keikhlasan, tapi adakah aku ikhlas? Aku keliru tapi siapalah aku untuk merungut atas kepincangan hubungan kami. Aku telah berusaha mempertahan hubungan ini.. entah kenapa aku seolah-olah tahu dia bukan untukku. Aku yang menyanjunginya dan sentiasa berharap pada kejujurannya akhirnya kalah.
Aku kesal atas apa yang berlaku kerana saat itu aku tahu, aku tidak dapat mengawal semuanya. Itu ketentuan Tuhan, siapalah kita dalam hal-hal yang membabitkan perasaan dan hati! Akhirnya setelah berminggu bertarung dengan perasaan, aku setuju dia berkahwin lagi. Aku akan terus di sini, kerana ada banyak lagi yang lebih penting dari hati dan perasaanku sendiri. Biarlah dia dengan dunia dan nalurinya yang tak pernah puas.
Aku? Sejujurnya aku bersyukur walaupun aku tak dapat memenangi hatinya, sekurang-kurangnya aku punya anak-anak. Merekalah yang memberikan aku semangat, kekuatan jiwa dan keyakinan bahawa tak semua di dalam hidup ini mengenai kita sahaja, bukan hanya perasaan kita sahaja. It's not everything about us.
Apa yang ada di depanku inilah yang akan aku pelihara, aku didik agar menjadi manusia. Aku pasrah, kerana aku tahu Allah lebih mengetahui.