"You've gotta dance like there's nobody watching,
Love like you'll never be hurt,
Sing like there's nobody listening,
And live like it's heaven on earth."
— William W. Purkey
Akhmal yang dikasihi,
Teruslah menjadi diri sendiri! Penuh dengan semangat, percaya diri, tabah, sabar dan peramah. Renunglah hari-hari yang telah kau lalui, pengalamanmu sebagai bayi, anak kecil, belajar ABC, remaja yang aktif, pengalaman jatuh cinta, malam pertama, menjadi ibu dan banyak lagi yang tak terucap.
Pandanglah di sekelilingmu, jenguklah hati-hati yang lebih kecewa dan terluka di luar sana. Betapa ramai lagi yang menderita lebih parah dari keadaanmu. Benar, mereka dan engkau adalah berbeza tapi bukankah senarionya agak sama? Belajarlah bersyukur dengan segala pemberian Allah, mungkin kau merasa terlalu kecewa, tapi hargailah dirimu yang masih punya mata, telinga, tangan dan semua mukjizat yang Allah berikan padamu!
Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Apa yang ada pada kita, samada pasangan kita, anak-anak, ibubapa, harta yang banyak, semuanya pinjaman yang Esa.
Akhmal,
Siapa yang tak terluka sekiranya cinta dikhianati? Itu lumrah, kawan. Bukankah engkau juga yang selalu berkata, kalau kita tidak menangis, ketawa atau merasa kecewa, kita ini bukan manusia dan apabila kita terluka dan berdarah itu bermakna kita ini bukan mesin. Engkau juga pernah berbicara tentang Hati dan Cinta. Katamu, cinta itu misteri, begitu juga hati. Terluka dan melukai adalah lumrah dalam kehidupan. Pahit atau berat sesuatu peristiwa itu bergantung pada penilaian akal masing-masing. Ini semua telah tertulis.
Engkau adalah insan yang kuat dan tabah. Engkau penuh dengan semangat dan harga diri. Engkau tidak cepat melatah dan seringkali mengalah. Engkau selalu mengatakan; engkau selalu berundur dan mengalah kerana engkau merasakan hidup ini bukan untuk dirimu sahaja. Bukan semua mengenai diri kita. Kita tidak boleh tamak dan mengalah bukan bererti kalah! Ke mana perginya semangat itu Akhmal?
Sebagai individu, engkau punya karakter tersendiri. Engkau tak mudah patah walau kadang-kadang kau tersungkur dan terjatuh, tapi kau bangun, berdiri tegak semula. Kau sering meniupkan semangat lawan dalam jiwamu bila kau terasa jiwamu hampir kalah.
Engkau seorang isteri yang sangat setia. Tidak pernah sekali pun kau mengkhianati lelaki yang kau cintai. Walau kau sering dilukai, kau tetap menerimanya apabila dia kembali dan berharap seolah bulan telah jatuh ke riba! Kau mencintainya sepenuh hati dan terus memberi kasih-sayang yang tak berbelah bagi. Padamu dialah suami untukmu dunia dan akhirat. Kau optimis dan selalu positif!
Benar, siapa yang tidak pernah bersungut dan mengeluh? Bukankah kita cuma seorang manusia dan tidak sempurna? Tapi kau sentiasa memperbetulkan keadaan dan belajar lagi. Kau seorang 'perfectionist'!
Akhmal,
Engkau juga seorang ibu yang penyayang. Kau penuh dengan perhatian dan kasih sayang yang tak pernah padam. Lihatlah anak-anak yang kau lahirkan. Pengalamanmu melahirkan, menyuap susu, mengajar mereka bertatih dan bercakap adalah anugerah Allah yang tak ternilai. Pandanglah mereka Akhmal. Mereka sangat memerlukanmu, ibu yang mereka cintai.
Sekiranya kau masih mempertikai kegagalanmu sebagai ibu; kau nilailah sendiri keperibadian anak-anakmu. Mereka penuh dengan emosi, matang, sensitif, percaya diri, sopan, berpendidikan, baik dari akademik mahupun spritual. Kau telah berjaya menjadikan mereka manusia yang berakal!
Perjalanan mereka masih jauh, mereka amat memerlukanmu. Kau adalah penunjuk jalan bagi mereka. Jatuh bangunnya anak-anakmu adalah bergantung pada keputusanmu. Janganlah sesekali kau lupa diri dan hanyut dengan perasaan sendiri.
Kau juga seorang teman yang baik, yang sentiasa mengambil berat. Kau tidak mengganggu kehidupan orang lain dan kau tidak pernah menyakiti sesiapa. Walaupun engkau terkadang terbawa-bawa perasaan marah, kau tidak cepat melatah kerana kau sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga.
Banggalah menjadi diri sendiri. Engkau adalah engkau. Janganlah kau terlalu ambil hati, kerana kau masih punya keluarga, anak-anak dan teman-teman yang sentiasa berdiri di belakangmu menyokong sekiranya kau terjatuh.
Kuatlah kawan, kerana engkau sangat disayangi. Engkau sentiasa memaafkan. Itulah engkau yang sebenarnya. Maafkanlah dia sekali lagi. Biarlah apa yang terjadi selama ini dijadikan iktibar dan pengalaman diri. Hargailah hidup ini. Hargailah mereka yang sentiasa menyayangimu.
Akhmal,
Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Seperti yang selalu kau ucapkan; setiap satu itu berpasangan. Yang hidup pasti mati, ada lelaki dan wanita, ada bunga dan daun. Semua berpasangan, begitu juga setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Penderitaanmu hari ini pasti ada gembira di hujungnya. Itulah kitaran hidup kita.
Beristighfarlah kawan. Ingatlah pada Allah kerana pada akhirnya Dia sahajalah yang kekal.
Salam.