Mac 4, 2011. Mungkin tarikh ini, tarikh keramat. Aku dan suami terbang ke Jakarta berdua, tanpa anak-anak atau beban kerja. Hari ini kami bercadang membebaskan hati-hati yang keliru dan beban yang menghantui kami selama ini. Mungkin juga sebagai pemangkin atau titik tolak hubungan yang makin dingin!
Jakarta yang tidak pernah sunyi seolah-olah tahu apa yang terbuku di hati kami selama ini. Riuh rendah suara manusia dan hiruk pikuk jalanraya seolah-olah meniup pesanan; setiap yang tersimpul pasti dapat dileraikan!
Cinta dan keperluan pada kami tidak seriring. Aku sedar hubungan kami sangat dingin sehingga terkadang aku mengalah dan mahu mengundur diri. Tapi apakah itu jalan terbaik?
Selama ini kesilapan kami ialah kami tidak pernah berbincang, tidak pernah cuba menyelami hati masing-masing, sentiasa berharap masa akan merubah segalanya sehinggalah semua ini sampai ke tahap genting seperti ini. Pada dasarnya, akulah yang paling parah, yang sentiasa berharap dan berharap. Semua ini telah memakan diriku sendiri. Aku berubah menjadi orang lain dan luka-luka yang kecil dahulu telah berubah menjadi besar dan bernanah.
Rupanya selama ini dia masih menyimpan perasaan tidak puas hati dengan diriku. Baginya aku tidak pandai mengambil hatinya dan dia tidak pernah merasa dibelai walaupun aku rasa aku telah cukup memenuhi permintaannya selama ini. Segala yang aku lakukan selama ini masih tidak dapat membuktikan cintaku padanya sangat tulus dan menerima dia seadanya. Padanya itu semua tidak cukup, dia perlukan lebih dari itu. Dia mahu aku sempurna di matanya, dia mahu aku berusaha lebih kuat untuk memenangi hatinya.
Aku pula mahukan kami berdua sama-sama berusaha kerana padaku semua ini tidak akan berjaya kiranya aku sahaja yang berusaha, aku mahu dia turut sama melayaniku dan menghargai apa yang aku lakukan untuknya selama ini, tanpa prejudis atau egois. Dua kepala menjadi satu, barulah akan berjaya.
Pernah dalam setahun dua ini apabila sering mengalah dan dilukai aku terlalu tertekan dan menolak perasaan cinta yang masih bersisa. Aku katakan pada diriku aku masih berdiri kerana aku masih ada waras dan mampu berfikir, tapi bukan kerana cinta. Gelak dan tawaku, airmata dan kesedihanku itu pula sentiasa menyulami hidupku kerana dengan itu aku tahu aku masih lagi seorang manusia yang punya hati dan perasaan tanggungjawab tapi 'definitely' bukan cinta! Itu kata-kata insan yang dalam kesedihan.
Dia tidak percaya bila aku nyatakan padanya aku tidak mencintai dia lagi kerana perbuatannya selama ini telah menghancurkan hatiku dan aku tidak mungkin punya cinta untuknya lagi. Dia berkeras, dia mahu aku nyatakan cintaku padanya. Aku mengalah. Aku katakan padanya, sekiranya selama ini dia tidak nampak cinta yang membara itu, agaknya apa namanya kesetiaan yang aku berikan itu? Bukankah itu cinta namanya, kerana kesetiaanku selama ini adalah cerminan cinta yang tak berbelah bahagi untuknya. Lebih dua puluh tahun menyemai cinta dan kelahiran anak-anak sebagai penghias rumahtangga adalah gambaran hati seorang isteri yang setia, yang sentiasa berharap pada keajaiban cinta, kerana aku percaya dua hati yang sentiasa bertolak ansur dan menerima baik buruk pasangan seadanya mampu bertahan hingga ke akhir hayat kami.
Tapi aku bukan aku yang dahulu lagi, itu aku pasti kerana aku tidak lagi damai seperti dulu. Aku bukan lagi wanita yang sama yang dia kenal dua puluh tahun dulu. Aku sangat rapuh sekarang ini, nampak luarannya aku masih berdiri tegak tetapi sebaliknya aku gagal berdiri tanpa sokongan. Aku perlukan dia untuk aku meneruskan kehidupan yang tinggal beberapa tahun ini sahaja lagi.
Kami berbincang dari hati-ke hati. Kami bentang semua permasalahan dan apa yang mesti kami lakukan untuk memenangi hati masing-masing untuk sekali lagi. Kami nyatakan apa yang terbuku di hati, kami berjanji untuk tidak lagi menyakiti sesama kami. Aku setuju, kerana padaku kenapa perlu kita berbahas lagi sekiranya permintaan itu bisa mendamaikan kami.
Kami menyusur setiap jalan di Jakarta dengan penuh semangat dan janji pada satu sama lain, bahawa kiranya kita mahukan sesuatu, kita mesti berusaha untuk menjadikannya realiti, kerana Cinta Bisa Menggerakkan Gunung!