Hari ni, hari terakhir anak sulongku menjawab kertas PMRnya. Diam tak diam dah enam belas tahun aku berkeluarga. Anak-anak pun dah besar panjang, uban pun dah makin banyak tapi sayangnya diri tak pernah ingat dah tua.
Anak sulongku dahpun lima belas tahun umurnya, waktu kritikal pada pendapat peribadiku.. Remaja yang memerlukan kasihsayang di luar kelompok keluarga sendiri. Walaupun selalunya ada saja yang tak berkenan di mataku, aku sedar, aku kena menerima hakikat, bahawa seorang anak itu adalah seorang individu yang berdiri dengan kekuatan mental dan fizikal sendiri tetapi ibubapa sekadar membimbing dan memberi pendapat.
Pendapat anak-anak tidak pernah selaras dengan pendapat ibubapa. Tetapi kita sebagai ibubapa sekurang-kurangnya mengambil sikap bertolak ansur dan cuba mengerti apa yang dirasai oleh anak-anak supaya mereka sekurang-kurangnya merasai dihargai. Cuba kita renungkan kembali apa yang kita rasa waktu zaman kita remaja dulu. Seingat aku waktu aku berusia lima belas tahun, itu waktu yang paling membahagiakan. Aku punya pendapat sendiri, mencuba semua aktiviti, dan sentiasa berlagak dewasa...hahaha. Semasa usia inilah aku kenal erti cinta, diminati rakan sebaya dan macam-macam lagi. Apa yang bahagianya waktu itu ialah, kedua orang tuaku memberikan aku kebebasan berfikir tetapi sentiasa diperhati agar aku tidak tersasar dengan keputusanku. Aku bersyukur punya ibubapa dan datuk nenek yang amat memahami walaupun mereka agak konservatif!
Ironiknya pula, bila kita menjadi ibubapa, kita seolah tidak sedar bahawa anak kita juga punya pendapat dan perasaan yang sama seperti kita remaja dulu. Lucu bukan? Kita pula seolah mengawal cara anak-anak berfikir, tidak membenarkan mereka berfikir sendiri. Berfikir di luar kotak! Itu yang jadi kepadaku, padahal zaman dulu tidak sama seperti sekarang yang hi-tec dan sangat berbeza dengan waktu dulu.
Alhamdulillah, bagaimanapun aku fikir kita setiap ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, kerana mungkin kita tidak mahu mereka mengulangi kesilapan kita dulu. Jadikan pengalaman kita sewaktu remaja dulu dan perjalanan menuju alam dewasa dalam mendidik putera-puteri kita. Menjadi ibubapa adalah anugerah yang paling berharga dalam kehidupan kita.
Aku? Kalaulah boleh aku putar kembali waktu yang berlalu, teringin rasanya kembali ke usia remaja, waktu mula 'puberty'. Saat mula kenal sayang, cinta, apa lagi? Ya, semua yang dialami orang dewasa, memperbetulkan kesilapan yang pernah berlaku, lebih menghargai pendapat orang tua, lebih berhati-hati dan mengikut buah fikiran yang betul. Tapi sayang ya, siapalah kita nak kembali ke zaman silam? Yang berlalu tidak mungkin kembali lagi..
Apapun aku bersyukur seadanya kerana yang di depan mata inilah yang lebih memerlukan bimbingan daripada aku yang berpengalaman!