Selalu aku berfikir dua kali atau mungkin berkali-kali sebelum aku membuat sesuatu kesimpulan ataupun sebelum aku mengeluarkan pendapat. Mungkin aku bukan orang penting, malah bukan juga berijazah, tapi aku percaya setiap individu itu berpelajaran atau tidak, pasti punya perasaan atau gerak hati berlandaskan pemikiran dan pemerhatian yang waras. Pengalaman mengajar kita erti hidup sebab pengalaman itulah pelajaran dalam universiti kehidupan!
Honesty and sincerity is a must atau jujur dan keikhlasan itu sesuatu yang harus. Jujur tu apa? Jujur itu padaku ialah ketelusan. Manakala ikhlas pula ialah bersihnya hati dalam setiap menerima atau membuat keputusan. Setiap perhubungan perlukan kejujuran dan keikhlasan, kalau nampak jujur tapi tak ikhlas, buat apa?Jujur dalam setiap perhubungan itu penting. Ikhlas menyayangi dan menghormati seseorang yang lain itu akan memelihara setiap perhubungan sampai ke akhir hayat. Itu jujur dalam perkahwinan. Apabila sesebuah perkahwinan itu tidak berlandaskan kejujuran dan keikhlasan, agaknya setakat manakah perhubungan itu bertahan? Perkahwinan atas dasar cinta tak semestinya bertahan sekiranya tiada kesabaran.
Sabar pula apa? Sabar itu bermakna kita dapat mengawal sesuatu keadaan dengan fikiran yang waras, membuat pemerhatian dan kesimpulan dengan lebih bijak, tidak terburu-buru. Walau dalam keadaan kritikal sekalipun sekiranya kita sabar dan bertolak ansur, kita pasti berjaya mengharunginya. Sabar terletak pada hati. Manakala hati mesti kuat untuk menjadi sabar. Sukar bukan?
Cinta. Apa agaknya cinta? Cinta pada pendapat peribadiku sangat 'universal'. Kita perlu ada cinta untuk menjana sesuatu perhubungan, tidak kira samada cinta kepada Tuhan, pasangan, ibubapa, keluarga ataupun persekitaran.
Aku pernah terbaca bahawa cinta pertama itu agung. Entah! seingat aku, cinta pertamaku semasa aku baru mula 'puberty.' Tapi bagi aku itu cinta monyet, puppy love. Tak ada maknanya. Cinta pertama itu ada pelbagai. Cinta antara dua anak remaja yang lebih berdasarkan rembesan hormon awal remaja. Ada yang jatuh cinta pada kawan sekelas, rakan sebaya atau kepada sang guru di sekolah. Bila hati mula berdetik, gugup, tidak tentu arah, itukah yang dinamakan cinta? Maaf, itu pendapatku. Siapa yang tidak pernah mengalami cinta? Penilaian sesorang individu mengenai cinta amat berbeza. Kadang-kadang ada yang mengatakan nafsu itu cinta. Tafsiran itu yang terkadang tersasar dari landasan moral. Complicated.
Bagiku Cintaku yang satu ini, iaitu cinta selepas aku bernikah. Lelaki ini yang sentiasa mendapat tempat di hatiku, walaupun bukan yang pertama, tapi dialah yang sentiasa aku cinta. Setiap perhubungan itu ada 'ups and downs' nya, siapa kata setiap perkara itu senang? Nak makan pun susah, apa lagi sesebuah perhubungan itu. Terus terang, aku juga sama seperti pasangan lain, punya kelemahan, tapi Alhamdulillah, setakat ini kami berjaya mengatasinya.
Pada pendapatku, cinta itu perlukan kesungguhan, ketabahan, pengorbanan yang tak berbelah bahagi dan kesabaran yang tinggi. Kita perlu belajar mencintai barulah kita boleh bahagia dan menghargai. Semua perhubungan itu pada pendapatku sama bentuknya, yang membezakannya hanyalah senario dan suasananya.
Pernah satu ketika dulu, seorang teman mengingatkan aku, bahawa seseorang itu perlu senang memaafkan, barulah sesebuah perhubungan itu akan berjaya. Satu lagi syarat? Aku setuju. Tidak ada seorang pun yang punya pendapat yang sama, tapi kita pasti ketemu jalan yang sama kiranya kita berusaha kearah itu. Setiap perbalahan sama ada kecil atau besar, pasti ada jalan penyelesaiannya. Bukan jalan mudah, tapi kiranya kita cuba menerima sesuatu seadanya dan dapat memaafkan seseorang itu, pasti hati kita rasa lebih lega. Tak begitu?
Kesimpulannya? Berapa syarat untuk bahagia? Atau tak bersyarat? Tepuk dada!