October 16, 2009

Apa warna masa depan?

Hari ini aku berbual dengan anak keduaku lewat sarapan pagi. Semalam, bersama anak sulongku. Dua anak ini sangat berbeza karakternya, walaupun beza umur keduanya tak sampaipun setahun! Keduanya tak punya minat yang sama malah langsung tak punya ciri-ciri saudara. Kaya betul Yang Punya Kuasa!

Sebagai ibu moden di zaman serba hi tec ini, aku mengaku sering kalah dengan kerenah keduanya. Apa tidaknya, hari ini langsung tak sama dengan zaman kita waktu kecil dulu. Cara emak kita mendidik kita, cara kita mendapat pendidikan di sekolah, semuanya berbeza. Subjek-subjek yang diajar di sekolahpun terlalu advanced.

Anak keduaku ini, sangat halus sifatnya. Sensitif, artistik, sangat sopan dan manis orangnya. Tapi apa yang sangat merisaukan sikapnya yang tak pernah acuh dalam hidupnya. Tak pernah serius. Kata emak, agaknya mewarisi sifatku waktu kecil dulu. Berbanding si sulong. Selalu tahu apa yang diingini. Kata iparku, si sulong mewarisi sikap bapanya. Adilkan?

Aku cuba menyelami hati anak-anak, cuba menjadi teman yang sebaya yang memahami apa yang berlaku. Aku sentiasa jadikan pengalamanku sebagai remaja dulu sebagai panduan dalam menangani masalah mereka. Mungkin cara kita dulu berbeza dengan mereka tetapi aku cuba adaptasikan setiap pengalaman itu supaya mereka mendapat gambaran apa yang perlu mereka lakukan kelak.

Menjadi seorang ibu padaku adalah tugas yang yang sangat berat. Kita bukan saja menjadi ibu, tukang masak, pemandu mereka ke sekolah atau tempat rekreasi tetapi sekaligus menjadi sahabat baik mereka. Mendengar pendapat mereka sebagai teman yang memahami sekaligus sebagai ibu yang mengerti luahan hati mereka, sangat sukar sebenarnya.

Peranan kita sebagai ibu dan bapa bukan setakat memberi makan yang cukup dan tempat tinggal yang sesuai tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mendidik mereka menjadi individu yang lebih berkarakter teguh, sabar penuh keyakinan diri dan dapat mengawal kehidupan apabila mereka dewasa kelak.

Alhamdulillah setakat ini anak-anak punyai sikap positif, amat matang dalam usia yang masih muda dan penyokong setiaku dalam apa jua keputusan yang aku buat. Kami punya ikatan yang sangat kuat kerana aku sentiasa cuba menjadi teman mereka dan mengambil berat setiap pendapat mereka seolah-olah aku sebaya dengan mereka. Mungkin caraku berbeza dengan orang lain, mungkin aku salah, tetapi bukankah setiap langkah yang kita ambil adalah berdasarkan pemerhatian kita terhadap sekeliling kita dan kita perlu menghormati pendapat orang lain samada dia seorang kecil atau dewasa kerana dengan cara itu barulah kita dihomati?

Aku masih belajar lagi menjadi ibu yang berjaya, kerana perjalanan ini terlalu jauh lagi. Masih banyak lagi peringkat yang perlu dilalui. Hari ini mereka menerima keputusan peperiksaan sekolah menengah, esok ijazah di universiti, mungkin sepuluh tahun lagi membawa pulang bakal menantu untukku. Ya, siapa tahu rencana yang punya kuasa?

Wallahuallam.