Tidak seorang pun dari kita dapat mengagak atau tau apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Kita mungkin boleh melakar pelan untuk menghadapi hari esok tapi segala-galanya adalah di bawah kuasa Yang Maha Tinggi. Dia yang punya rencana untuk setiap kita dan Dia juga yang akan menentukan takdir setiap manusia.
Baru-baru ini aku menemui kembali seorang teman lama yang dahulunya bersekolah denganku dari tadika hinggalah kami Darjah Enam. Apabila menengah kami masing-masing tidak pernah berhubung malah seingat aku kami tidak pernah berbual pun. Dunia ini terlalu kecil. Facebook menemukan kami, selepas lebih dua puluh tahun!
Sahabatku ini berjaya dalam hidupnya dan Alhamdulillah dia sangat mencintai kerjayanya. Aku amat bangga dengan pencapaiannya. Dia sekarang adalah seorang selebiriti yang sering muncul di kaca TV mengacara rancangan.
Kalau dulu sebelum bersahabat semula dengannya; apabila dia muncul di TV aku akan memberitahu anak-anak bahawa kami pernah belajar sekelas tetapi sekarang aku telah menjadikan rutin harian menonton setiap rancangan atau berita yang dikendalikannya. Pada waktu ini sahabat baikku ini berada di Mediteranean sebelum berangkat ke Gaza untuk menjalani ekspedisi Flotilla 2.
Kerjaya membawa dia jauh ke perantauan dan terpaksa meninggalkan keluarga demi memperjuangkan hak asasi manusia dengan caranya sendiri. Dari perbualan kami aku dapat rasakan dia sangat mencintai apa yang dilakukannya dan dia penuh dengan semangat juang.
Terus-terang, secara peribadi, aku sangat berbangga menemui semula teman lama ini walaupun kami tidak bersua tetapi aura yang dibawanya sedikit sebanyak membawa perubahan kepada diriku. Aku lebih fokus, lebih percaya diri dan lebih berbangga menjadi diriku sendiri.
Aku kini sedar terlalu banyak perkara lain yang aku terlepas pandang selama ini. Isu global dan penderitaan orang lain lebih pedih dan menyakitkan daripada apa yang berlaku kepada diriku.
Semua ini lebih mendekatkan aku dengan Yang Maha Kuasa. Aku bersyukur kerana Tuhan sentiasa bersamaku dan sentiasa menunjukkan jalan kepadaku.
Kepada temanku di sana; terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku dan aku ingin kau tahu bahawa Tuhan telah membawamu kepadaku.
Wallahuallam.