Aku pernah terbaca dan seringkali mendengar; apabila kita sering mengucapkan sesuatu lebih dari empat puluh kali ia akan menjadi satu doa. Betul atau tidak hanya Yang Kuasa ada jawapannya. Tetapi mahu tak mahu aku rasa apa yang telah kupanjatkan pada Illahi ternyata dianugerahi.
Lebih setahun ini aku panjatkan doa yang sama setiap saat dan setiap kali bertemu Yang Esa. Aku mahu dilimpahi semangat, dianugerahi kekuatan, diringankan beban fikiran dan terutama kurangkanlah perasaan cinta yang ada supaya aku mudah meneruskan hidup dan penderitaan berkurangan.
Apabila aku memerhatikan setiap tingkah-lakunya yang seolah menyesali apa yang terjadi dan perubahanku sekarang, ternyata aku sedih dengan semua ini. Kami tidak lagi semesra dulu, tetapi secara peribadi, aku tidak kesal sama sekali kerana sekurang- kurangnya aku lebih bersemangat dan lebih menyayangi diri. Mungkin juga benar Tuhan telah memakbulkan doa-doaku.
Aku tidak mahu memikirkan apa yang telah diucapkan dan apa yang telah berlaku antara kami, biarlah ia menjadi sejarah hitam yang patut aku simpan dalam lipatan memori. Aku tidak mahu sedih lagi dan mengharap pada cinta yang tidak kekal.
Kini ternyata aku lebih bersemangat, lebih fokus tentang diri sendiri dan Alhamdulillah aku tidak terlalu lagi memikir soal hati dan perasaan.
Kata-kata yang pernah diucapnya dulu kini menjadi azimat supaya aku lebih kuat dan lebih matang dalam mengharungi kehidupan seharian.
Aku doakan terbaik untuk kami berdua. Biarlah semua ini menjadi pengajaran kepada kami. Apapun jodoh pertemuan semua di tangan Tuhan. Sekiranya ini lah takdir yang ditulis untuk kami, siapalah kita hendak mempertikainya?
Wallahuallam