July 6, 2011

Sesulit Manapun Aku Akan Belajar

Sebuah kata-kata yang aku petik dari sebuah novel; "berikan aku pelajaran yang paling sulit sekalipun, aku akan belajar".

Empat puluh tahun dianugerahi hidup yang bahagia dan kesihatan yang baik membuat aku menyedari kesemua ini adalah rahmat Tuhan yang tak ternilai.

Aku percaya bahawa setiap manusia itu dilahirkan istimewa. Samada percaya atau tidak aku menjadi eksperimen kepada diriku sendiri. Aku yakin setiap kita ada bakat dan kekuatan tersendiri. Kita boleh menggapai bintang sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh kerana pada pandanganku kita semua patut mencabar diri kita sendiri ke takat yang paling tinggi. Aku mengatasi ketakutanku dengan mencabar diriku membuat sesuatu yang sebelum itu tidak tercapai akal fikiranku.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang berseni. Kami diajar untuk membuat semua benda sendiri. Aku dan adik-adik telah diajar menjahit dan memasak seawal usia kami sembilan tahun. Pelajaran yang paling aku ingat ialah kesemua ini mengajar kami adik-beradik sifat kesabaran yang tinggi.

Kesabaran, keyakinan yang tinggi dan siasah diri seseorang dibentuk menerusi cara pendidikan awal usia. Sifat ini harus dipelajari bukan semata-mata sifat yang terbentuk sejak lahir.

Bakat-bakat lain yang ada padaku ialah aku boleh melukis, membuat kerja-kerja tangan seperti menjahit dan membuat kraftangan. Sewaktu kecil, aku tidak berapa berminat dengan semua kerjatangan itu, pendek kata aku lah yang paling lambat menghabiskan sesuatu kerja yang diberikan emak. Meningkat dewasa aku memupuk minat ini secara perlahan. Aku sukakakan cabaran dan selalunya aku belajar melalui buku-buku yang banyak dijual di pasaran. Aku yakin kita boleh belajar sendiri melalui pengamatan dan ketelitian.

Mungkin pada hemat orang lain, setiap individu dilahirkan berbeza dan bakat juga adalah pakej, tetapi pada pendapat peribadiku, bakat itu boleh dipelajari. Pokok pangkalnya apabila kita punya satu fikiran yang mantap atau tahap mental yang tinggi apapun yang kita lakukan akan berjaya.

Kalau kita perhatikan masyarakat dahulu, mereka lebih berhemah, lebih sabar dan penuh dengan nilai-nilai murni di dalam diri mereka. Sukatan pelajaran di sekolah juga disertakan dengan pelajaran menjahit dan sains rumahtangga. Mungkin pada waktu itu tiada internet dan sains teknologi belum berkembang seperti sekarang, tetapi apabila melihat hasilnya, ku kira inilah salah satu cara yag patut kita pupuk di kalangan pelajar sekolah.

Kemungkinan pendekatan yang paling baik ialah mengajar anak-anak kecil menjahit kerana latihan menjahit ini sekaligus mengajar mereka menjadi penyabar yang sekaligus akan membentuk siasah diri mereka.

Apabila kita amati sifat-sifat ini, aku yakin ini terhasil dari kesinambungannya.

Aku mendidik anak-anakku sama seperti cara keluargaku mendidik kami. Kedua orang tuaku membenarkan kami melakukan apa sahaja yang kami kira terbaik untuk diri sendiri. Cuma mungkin sedikit berbeza dengan caraku sekarang kerana aku yakin kiranya perubahan yang serba-sedikit dapat lagi memantapkan cara yang sedia ada.

Anak perempuanku berumur empat belas tahun. Seperti remaja perempuan lain, dia sangat normal tetapi yang membezakan dia dari orang lain ialah tahap keberanian dan self esteem yang tinggi. Secara lahirnya dia tidak punya bakat seni samada muzik ataupun melukis, tetapi secara perlahan-lahan meniti remaja, dia mula memupuk bakat melukis dan mempelajari muzik walaupun belajar sendirian melalui internet; guru segala ilmu.

Semasa kecil, dia sangat takut dengan air, samada kolam mandi ataupun di laut. Dia tidak pandai berenang, mungkin mewarisiku, tetapi apa yang menjadi kebanggaanku ialah dia telah berusaha belajar menyelam dan berenang sendiri sehingga dia pandai. Katanya; dia cemburu kerana adik dan abangnya-abangnya pandai berenang. Kenapa mereka boleh dan dia tidak?

Jadi, dari situ aku percaya bakat itu perlu dipelajari dan mental yang kuat adalah kunci kepada kejayaan seseorang. Ketakutan yang ada pada diri kita dapat kita hapuskan dengan memberanikan diri dan berfikir kita boleh. Tiada apa yang dapat menghalang kita melainkan diri kita sendiri.

Hidup ini terlalu singkat. Aku yakin kiranya kita mempelajari lebih banyak ilmu dan tidak membataskan cara kita berfikir, kita memberanikan diri membuat sesuatu yang kita tidak sangka dapat melakukannya; tentu kita akan lebih bahagia dan hidup kita lebih bermakna. Tidak begitu?

Wallahuallam.