May 26, 2011

Terimalah Seadanya

Allah Maha Pengasih, Dia Maha Penyayang.

Setiap yang diciptakan Tuhan pasti berpasangan. Ada bunga, ada kumbang, ada lelaki, ada wanita.

Menjadi isteri kepada lelaki yang dicintai adalah impian setiap wanita. Kenyataan menjadi pasangan hidup kepada kekasih hati adalah anugerah yang tidak ternilai dan kenikmatan menjalani kehidupan sebagai suami isteri menjadi igauan kepada semua pasangan kekasih.

Kadangkala kita menganggap pasangan kita sebagai sahabat, kekasih dan teman sepanjang hayat namun Perkahwinan bukan Persahabatan. Kita ada adab-adab dan tatasusila dalam menjalani kehidupan suami isteri. Perkahwinan adalah sebuah ikatan yang menghalalkan hubungan antara dua jiwa; lelaki dan perempuan.

Perkahwinan adalah takdir Tuhan.  Dia yang punya rencana menemukan kita dan memberi kita peluang untuk meraikan kehidupan berkeluarga dan menikmati kasih sayang.

Kalaulah selama ini engkau menerima aku seadanya sepertimana aku menerimamu tentu kita bahagia dan tentu segala yang berlaku kini tidak akan pernah terjadi.

Seingat aku, kita saling jatuh cinta dulu.  Aku bahagia sekali waktu itu walau dari mula kita memang tidak serasi bersama, tapi kita cuba kerana kita percaya dua kepala boleh menjadi satu sekiranya kita berusaha sekuat mungkin.  Padamu, kita berdua sahaja sudah cukup kiranya kita mahu bahagia. Kita tidak perlukan orang lain asalkan kita bersama.

Sepuluh tahun pertama adalah waktu-waktu bahagia kita walaupun terkadang kita berselisih pendapat, kita dengan cepat cuba mengatasi masalah remeh itu.  Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri? Kini hampir dua puluh tahun, terlalu banyak rintangan dan halangan yang kita tempuh bersama.

Teman yang tersayang,

Aku melihat diriku dewasa dengan bimbinganmu.  Aku belajar menjadi isteri, anak dan ibu dengan tunjuk ajarmu. Alhamdulillah, dikau berjaya mendidikku.  Aku bahagia menjadi sebahagian dari hidupmu.

Engkau adalah suami yang penuh dengan tanggungjawab tetapi egomu sebagai ketua keluarga terkadang terlalu mengikut perasaan.  Aku selalu merasakan tidak punya hak untuk bersuara dan tugasku di rumah hanyalah sebagai pengurus rumahtangga, tidak lebih dari itu.   Engkau bebas melakukan apa sahaja dan pergi ke mana sahaja yang engkau mahu tanpa perlu memberitahuku terlebih dulu.  Kadang-kadang aku merasakan betapa aku tidak lebih dari seorang   wanita yang hanya berkongsi tempat tidur denganmu. Ironisnya hidup ini.

Aku meletak sepenuh kepercayaan bahawa engkau tidak akan mengkhianati cintaku kerana itu aku sentiasa meletakkan dirimu di tempat yang paling atas di dalam hidupku.  Aku menurut segala perintahmu walau kadangkala aku tidak dapat menerima dan menurut segala kemahuanmu.  Pun begitu, aku cuba tidak mempersoal dan terus setia.

Aku menganggapmu sebagai suami yang mesti dipatuhi dan sekaligus terus berharap dapat menjadi sahabatmu yang paling setia.  Aku ingin sekali dianggap teman setia yang terlalu memahami keinginan seorang sahabat.  Aku memberi kebebasan padamu, aku tidak pernah mempertikai ke mana dan dengan siapa kau berkawan.  Padaku kau  berhak berteman dengan siapa pun asalkan kau tahu batasan sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anak kita.

Aku lahirkan anak-anak kita, penyambung kasih kita.  Mereka adalah permata hati  dan bukti cinta kita.  Aku bangga menjadi isterimu wahai teman dan aku sangat berbangga menjadi ibu kepada anak-anak kita.  Mereka tumbuh membesar dengan pendidikan yang baik dan asuhan dari kita berdua menjadikan mereka anak-anak yang sihat dan berbudi bahasa.  Alangkah bahagianya jika kita berjaya menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah.

Namun Cintaku tidak pernah cukup buatmu.  Kau lebih mementingkan orang luar dari diriku. Padamu mereka lebih bermakna dan aku tidak setanding mereka yang menjadi sahabatmu.  Kau sering mencari peluang bertemu dan mengenali teman baru. Hari demi hari aku sering tertinggal di belakang.  Aku tidak berharga padamu lagi.  Aku hanyalah tempat untuk kau kembali pabila kau keletihan dan sebagai penjaga anak-anak kita. Tugasku tidak lebih sebagai teman tidurmu, ibu kepada anak-anakmu dan menguruskan rumahtangga.

Kau sering mempertikai tentang keluargaku, kau tidak pernah berpuashati dengan caraku selama ini dan kau juga sering mengugut untuk membongkar kisah-kisah laluku.  Aku tidak pernah menafikan aku juga punya kesilapan, tetapi adakah kesilapanku terlalu besar sehingga tidak dapat dimaafkan?  Adakah aku pernah mengkhianatimu dan pernahkah sekali aku curang kepadamu?  Adakah mempertikai kesilapan dan masa silamku sesuatu yang membanggakan? Kau terlalu mendendamiku teman mungkin tanpa kau sedari.

Wahai teman yang pernah aku cintai,  aku tidak gentar dengan semua itu.  Aku bersedia menerima cemuhan orang lain, aku pasrah.  Padaku, apalah ada pada kenangan lalu, kerana ia hanyalah sebuah kenangan.  Aku bangga dengan diriku kerana aku pernah melalui zaman itu.  Itu semua menjadi pengalaman yang berharga padaku.

Akhirnya kau temui seseorang yang kau anggap cinta barumu.  Kau tidak pernah menjaga hatiku dan kau menganggap apa yang berlaku adalah di luar kawalanmu. Pada mulanya katamu aku tidak bersalah, tetapi ada sebuah ruang kosong yang tidak dapat aku penuhi. Kau telah menemui separuh jiwamu dan kau mencintai dia.  Tetapi entah kenapa tiba-tiba aku dipersalahkan atas semua yang berlaku.  Katamu akulah yang bersalah kerana tidak pandai mengambil hatimu dan kau tidak pernah merasa dihargai sebagai suami.  Katamu kau telah berusaha dan sentiasa memenuhi permintaanku tetapi aku sentiasa mengecewakanmu.  Aku tidak pandai mendidik anak-anak dan tidak bijak mengurus rumahtangga.  Kau sering membandingkan aku dengan isteri sahabat-sahabatmu,  katamu aku tidak bijak mengurus rumahtangga seperti mereka dan aku masih tidak dapat memenuhi keinginanmu sebagai suami.

Wahai teman, aku benar-benar kecewa.

Aku sangat keliru teman.  Perlakuan dan kata-katamu seolah-olah aku tidak diperlukan lagi dan aku tidak layak dihargai namun aku masih diperlukan kerana kau merasa bertanggungjawab terhadapku tetapi kau tidak mahu meninggalkanku kerana katamu kau masih menyayangiku kerana aku telah menjadi sebahagian hidupmu dan aku adalah isteri dan ibu kepada anak-anakmu.  

Dalam masa yang sama kau mahu aku menerima temanmu sebagai sebahagian dari hidupmu, kau mahu bersatu dengannya dan membina sebuah lagi keluarga yang menurutmu adalah jodoh yang dipertemukan Tuhan.  Katamu kau tidak mahu gagal dalam setiap apa yang kau lakukan tetapi sekiranya kau gagal suatu hari nanti, kau akan menyerah kepadaku.  Sayang sekali, aku tidak mahu menunggu hari kegagalanmu itu nanti, kerana dengan terkeluar kata-kata itu aku rasa seperti dihempas ke batu.  Aku sentiasa merasa diri ini seolah hanyalah sebagai pilihan terakhir dalam hidupmu. Sentiasa.

Maafkan aku teman, aku juga punya prinsip hidupku sendiri. Walaupun kita masih bergelar suami isteri dan aku terpaksa merelakan kau bersamanya tapi aku tidak mahu berkongsi jiwa dengannya.  Padaku tiada gunanya kita berpura-pura bahagia sedangkan aku dapat rasakan engkau semakin menjauh dan sentiasa menurut kehendaknya.  Engkau bukan lagi lelaki dan suami yang tegas dan bersikap pemimpin.  Engkau sudah jauh dari landasan dan lebih menurut hawa nafsu.

Kiranya engkau mahukan hidup yang sebegini, aku pasrah.  Aku lebih rela kehilanganmu dari hilang maruah diriku.

Teman yang paling aku kasihi,

Aku juga manusia dan punya harga diri.  Aku bukan mesin yang tidak dapat merasai kesakitan.  Ternyata hatiku telah hancur berkecai.  Cinta yang aku pertahankan selama ini tidak dapat diselamatkan lagi.  Aku pasrah, wahai teman. 

Seringkali aku memujuk diri untuk memaafkanmu dan menurut segala kemahuanmu tetapi akhirnya aku pasrah.  Aku telah terlalu banyak berkompromi dan bertolak ansur dengan sikapmu.  Aku terlalu bersabar dengan kerenahmu, terlalu banyak peluang dan ruang yang telah aku berikan padamu selama ini.  Aku tidak pernah mengungkit apa yang telah kau lakukan padaku selama ini tetapi kau sering mengugut dan mengungkit segala kesilapanku yang lalu.

Sabarku sudah sampai ke garis penamatnya.  Maafkan aku teman. Aku terpaksa.  Aku masih ingat akan janjiku bahawa aku tidak akan menuntut untuk dilepaskan dan aku juga telah berjanji pada diriku aku tidak akan meninggalkan anak-anakku merana kerana keegoan kita berdua.  Aku mahu anak-anakku bahagia, punya keluarga bahagia dan ibu ayah yang mengasihi mereka.  Aku tidak akan melukakan hati mereka sepertimana yang telah kau lakukan.  Aku ketepikan kebahagiaan sendiri demi mereka.

Kini, aku bukan orang yang kau kenal dua puluh tahun dulu.  Aku tidak lagi selemah dulu, yang mengikut segala kehendakmu. Aku adalah wanita yang baru, yang tahu menghargai diri dan tidak akan tunduk pada segala kemahuanmu. Aku juga tidak mahu merasa bersalah atas kegagalan ini.  Cukuplah selama ini aku menerima segala tuduhan dan tohmahanmu.

Aku tidak mahu lagi menunggumu wahai teman.  Cukuplah.  Walaupun kita masih tinggal sebumbung tapi kukira lebih baik kiranya kita membuat hal sendiri.  Aku tidak mahu mengambil tahu tentang dirimu lagi dan biarkan aku sendiri.  Kita berpura-puralah di depan anak-anak agar mereka tidak dapat menghidu kepincangan kita.  Maafkan aku sekali lagi kerana aku tidak dapat lagi menerima penghinaan ini.

Biarlah masa yang merawat luka-luka ini dan biarlah Tuhan yang menentukan takdir kita.

Biarlah kita bersahabat.  Aku menerimamu seadanya seperti hari pertama aku bertemu denganmu!